MARAN – Kerajaan Negeri Pahang mahu masalah Sungai Pahang yang semakin cetek di beberapa lokasi termasuk Kampung Pesagi di sini terus ditangani melalui penyelesaian jangka panjang berasaskan kajian menyeluruh.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keadaan sungai yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu itu perlu dikenal pasti pasti punca serta kaedah penyelesaian paling berkesan.
Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang mendapatkan laporan lengkap daripada pihak berkaitan sebelum sebarang keputusan mengenai tindakan susulan dibuat.
“Sekarang ini saya minta laporan daripada pihak daerah dan saya akan bawa kepada Exco untuk kita kaji, teliti dan perhalusi bagi tindakan selanjutnya.
“Bagi jangka pendek mungkin kita boleh ambil tindakan, jangka sederhana pun kita lihat tetapi kita mahu penyelesaian jangka panjang.
“Untuk jangka panjang, kita perlu mendapatkan laporan yang lengkap,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Siap Penggantian Paip Daerah Maran di Loji Rawatan Air Chenor hari ini.
Menurut Wan Rosdy, isu air di negeri ini telah berjaya diselesaikan 90 peratus melibatkan empat daerah iaitu Raub, Lipis, Cameron Highlands dan Kuantan dan sasaran terusnya daerah Maran.
Kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan kerana keadaan sungai yang semakin cetek bukan sahaja melibatkan aspek alam sekitar malah boleh memberi kesan kepada aktiviti ekonomi dan kehidupan penduduk yang bergantung kepada Sungai Pahang.
Katanya, sebarang intervensi perlu dilaksanakan berdasarkan penilaian teknikal yang lengkap supaya tindakan yang diambil tidak hanya menyelesaikan masalah untuk tempoh singkat.
Masalah Sungai Pahang yang semakin cetek di beberapa kawasan turut menimbulkan kebimbangan penduduk khususnya berkaitan kelancaran aktiviti ekonomi dan penggunaan sungai yang menjadi antara nadi penting masyarakat di sepanjang lembangan berkenaan.
Kerajaan negeri dijangka meneliti laporan daripada pihak daerah dan agensi berkaitan sebelum menentukan bentuk intervensi yang sesuai bagi menangani isu berkenaan secara lebih menyeluruh.
Pendekatan itu dilihat penting bagi memastikan sebarang kerja berkaitan sungai dilaksanakan secara terancang, mengambil kira keadaan hidrologi serta kepentingan penduduk dan aktiviti ekonomi di sepanjang Sungai Pahang.

Sementara itu, Kampung Awah di sini bakal menjadi salah satu nod penghantaran strategik negara menerusi pembangunan National Grid Backbone 500kV sekali gus memperkukuh kedudukan Pahang dalam ekosistem tenaga masa depan Malaysia.
Wan Rosdy berkata, projek itu mampu meningkatkan kapasiti dan kebolehpercayaan grid selain membuka ruang kepada Pahang menarik pelaburan hijau serta industri berteknologi tinggi.
“Sebagai salah satu nod penghantaran strategik, projek ini akan memperkukuh kesalinghubungan Pahang dengan Grid Nasional dan meningkatkan kesiapsiagaan negeri untuk menyokong industri baharu, pelaburan bernilai tinggi serta pembangunan tenaga boleh baharu.
“Projek TNB iaitu 500 kilowatt yang di mana ibunya di Kampung Awah, Maran. merupakan jantung untuk talian negeri melibatkan projek RM350 juta untuk tower sahaja,” katanya.
Projek yang menghubungkan koridor Paka-Kampung Awah-Bahau South-Kulai East itu akan meningkatkan pemindahan tenaga antara wilayah serta membolehkan integrasi sumber penjanaan sedia ada dan baharu.
Apabila siap pada 2030, National Grid Backbone 500kV sepanjang kira-kira 500 kilometer itu akan menjadi talian penghantaran 500kV terpanjang pernah dibangunkan di Malaysia.
Infrastruktur berkenaan turut dijangka menyokong pertumbuhan industri berasaskan AI, pusat data, infrastruktur digital dan pelaburan hijau selain mempercepat pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) – MalaysiaGazette
















