BUKIT MERTAJAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan tegas terhadap pihak yang salah guna kuasa dan rasuah bukan bermotifkan dendam politik.
Tegas beliau, siasatan dan pendakwaan sesuatu kes bukan diputuskannya sebaliknya membabitkan institusi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Saya ambil tindakan tegas terhadap salah guna kuasa dan rasuah. Muncul ramai yang menyerang saya, ‘Oh, ini dendam.’
“Saya kata, apa dendam? Bukan saya yang putuskan, yang siasat itu SPRM, Polis Diraja Malaysia dan yang putuskan nak dakwa atau tidak, bukan saya tapi Jabatan Peguam Negara.
“Yang nak hukum itu hakim. Perdana Menteri tak ada kuasa nak hukum orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar mengenai nasihat kepada golongan muda yang berminat menceburi bidang politik pada Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka Sahabat Madani di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun di sini hari ini.
Anwar berkata, Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk memastikan institusi berkaitan menjalankan tugas mengikut aturan.
“Tetapi Perdana Menteri ada kuasa menetapkan institusi berjalan ikut aturan. Kalau tidak, orang rasuah tutup kes. 1MDB, Tabung Haji , FELDA semua tutup. Apa nak jadi pada negara?” soalnya.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, golongan muda yang mahu menceburi politik perlu mempunyai nilai, dedikasi dan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Politik adalah satu bidang yang baik sekiranya seseorang memasukinya dengan niat untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















