KUALA LUMPUR – UMNO bersetuju agar kepimpinan negeri melakukan perbincangan dan perundingan dengan parti-parti politik yang mahu bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Dusuki berkata, sebarang rundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama itu mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan.
Tegas beliau, ia bukan atas sebab ugutan atau gertakan.
“UMNO mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal yang dilakukan oleh pelbagai agensi dan penyelidik dalam kalangan ahli akademik yang menjurus kepada sentimen rakyat.
“Terutamanya orang Melayu yang mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan dan kepentingan serta kedudukan Melayu menjadi teras kepada kestabilan politik negara,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat MKT UMNO di sini malam tadi.

Mengulas penahanan pemimpin UMNO, Asyraf Wajdi menjelaskan, UMNO berpegang prinsip kedaulatan undang-undang yang mesti sentiasa dihormati dan dijunjung.
Katanya, seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi beliau tidak dibicarakan dan disabitkan kesalahannya berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut beliau, sebarang tindakan untuk memalukan atau menghina seseorang termasuk membentuk persepsi seolah-olah individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan telah pun bersalah adalah bertentangan dengan prinsip keadilan serta semangat kedaulatan undang-undang.
“UMNO konsisten bahawa parti tidak akan berkompromi mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan atau penyimpangan yang dilakukan oleh mana-mana pihak termasuk ahli dan kepimpinan parti yang wajib dihadapkan ke muka pengadilan melalui proses undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette
















