AMPANG – Rakyat mempunyai hak untuk mengkritik kerajaan dan menuntut perubahan, namun tuntutan itu perlu disertai idea serta alternatif yang jelas, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, kritikan tanpa cadangan penyelesaian hanya akan menjadikan politik sebagai medan memainkan emosi rakyat tanpa memberikan manfaat kepada negara.
Menurutnya, perubahan yang sebenar perlu membawa kepada pentadbiran lebih baik, keadilan dalam pengagihan serta pengukuhan institusi dan sistem negara.

Amirudin berkata, pihak yang benar-benar mahu membawa perubahan perlu menjelaskan dasar dan alternatif yang ingin dilaksanakan, bukannya sekadar membangkitkan sentimen rakyat.
“Orang ini hanya akan mainkan perasaan. Orang ini tidak ada idea. Orang inilah yang mungkin menjadi perosak kepada negara kita,” katanya ketika berucap pada Program MADANI Bersama Komuniti Ampang Jaya, di sini.
Beliau berkata, rakyat perlu menilai setiap tuntutan politik secara rasional dan tidak mudah terpengaruh dengan isu yang sengaja diperbesarkan untuk kepentingan politik.
“Kerajaan juga perlu terus bekerja menyelesaikan masalah rakyat walaupun terdapat perbezaan pandangan antara parti politik,” katanya.
Katanya lagi, kekuatan kerajaan dalam menghadapi cabaran ekonomi dan global bergantung kepada kestabilan pentadbiran serta kemampuan semua pihak bekerjasama.
“Rakyat perlu membezakan antara kritikan bertujuan memperbaiki keadaan dengan politik yang hanya bertujuan mencetuskan kemarahan dan kebencian.
“Kemajuan negara memerlukan perdebatan yang matang, berasaskan fakta dan disertai cadangan yang boleh dilaksanakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















