Pelumba CKJ Racing, Farres Putra Mohd Fadhil. Foto FB MAM.

KUALA TERENGGANU – Kecederaan pada pelbagai bahagian badan akibat kemalangan motosikal, menjadi punca kematian pelumba Malaysian Cub Prix Farres Putra Mohd Fadhill, 18, di Litar Permotoran Gong Badak, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata proses bedah siasat ke atas pelumba CKJ Racing itu, telah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bermula 10 hingga 11.55 malam tadi.

“Mangsa yang berasal dari Selangor, telah mengalami kemalangan semasa perlumbaan Kejuaraan Akhir CP150 pusingan kelima Kejuaraan Malaysian Cub Prix, di Litar Permotoran Gong Badak petang semalam.

“Kemalangan melibatkan tiga buah motosikal yang bergesel sesama mereka. Mangsa telah dibawa ke Unit Kecemasan HSNZ dengan ambulans dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, rakan mangsa Adi Putra Anahar, 17, berkata ketika kejadian dia sedang berada dalam kereta menyaksikan siaran langsung perlumbaan melalui telefon pintar, sebelum siaran tersebut tiba-tiba ditamatkan.

Dia yang mewakili pasukan Honda KC Racing Team berkata kali terakhir mereka berjumpa petang Khamis lepas, ketika dalam perjalanan pulang ke inap desa di sekitar kawasan Gong Badak.

“Semalam saya ambil peluang tengok siaran langsung perlumbaan dalam kereta, memandangkan sesi perlumbaan saya dah berakhir. Tetapi hairan kerana tiba-tiba siaran tersebut ditamatkan.

“Tak lama selepas itu saya terima panggilan telefon daripada rakan yang beritahu Farres kemalangan. Saya terus bergegas ke hospital, tetapi diberitahu yang dia sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSNZ malam tadi.

Adi Putra yang berasal dari Selangor berkata pemergian arwah meninggalkan kesan yang mendalam, memandangkan mereka sudah berkawan rapat sejak berusia 13 tahun.

Dia meyifatkan mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik seorang rakan yang sangat baik dan sentiasa berkongsi rezeki dengan orang lain.

“Kami dah berkawan lama kerana sama-sama terlibat dalam sukan permotoran. Dalam seminggu, dua tiga kali kami akan lepak bersama. Saya sedar risiko dalam sukan permotoran, tetapi tak sangka akan hilang dia dalam sekelip mata,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here