N. Sivakumar

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 perlu menjadi peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya tidak membiarkan ‘virus’ 3R terus menular hingga menghakis perpaduan dan keharmonian negara.

Presiden dan Penaung Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N. Sivakumar berkata, kemerdekaan bukan sekadar pembebasan daripada penjajahan, sebaliknya turut membawa makna membebaskan pemikiran dan jiwa daripada kebencian, perkauman serta penghinaan terhadap agama dan budaya.

Ujarnya, rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang perlu kembali menghayati erti sebenar kemerdekaan dengan menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan negara.

“Pelbagai isu kita alami pada tahun ini yang mengungkitkan isu 3R sehingga ada yang terbunuh dan ada yang menamatkan diri.

“Kita harus berani mengakui bahawa ‘virus’ 3R, terutama isu perkauman dan kebencian agama, sedang dieksploitasi sehingga menjadi cabaran kepada keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kebangsaan ke-69 yang bertemakan ‘Malaysia Madani: Kesejahteraan Dinikmati’.

Menurut Sivakumar, Malaysia dibina atas asas kepelbagaian dan kekuatan negara bergantung kepada kemampuan rakyat berbeza kaum serta agama untuk hidup bersama dengan saling menghormati.

Jelasnya, ancaman 3R menjadi lebih membimbangkan apabila sentimen berkenaan mudah dieksploitasi menerusi media sosial.

“Setiap perkataan yang ditulis, setiap video yang dikongsi dan setiap kenyataan yang dikeluarkan mempunyai impak yang mendalam.

“Kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina kaum lain, menggunakan bahasa kesat atau sengaja mencetuskan permusuhan,” ujarnya.

Sivakumar berkata, perbezaan warna kulit, bahasa dan bangsa tidak seharusnya menjadi tembok pemisah dalam kalangan rakyat kerana semua berkongsi tanah air yang sama.

“Kita mungkin dibezakan dari segi warna kulit, pertuturan dan bangsa, namun apabila darah mengalir, warnanya tetap merah.

“Perbezaan kaum tidak seharusnya menjadi tembok pemisah kerana kita tetap satu keluarga besar bernama Malaysia,” katanya.

Beliau turut mengajak rakyat menghargai kepelbagaian serta memelihara perpaduan sebagai tanda penghormatan terhadap tokoh negara yang berjuang mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.

Tegasnya, usaha membina negara yang makmur dan maju memerlukan budaya komunikasi yang lebih matang, proaktif dan bertanggungjawab dalam kalangan rakyat.

“Ayuh kita bentuk Malaysia yang makmur dan maju tanpa virus 3R dalam kalangan rakyat kita.

“Malaysia tidak memerlukan lebih banyak perpecahan. Malaysia memerlukan lebih banyak perpaduan. Hapuskan virus 3R demi kesejahteraan Malaysia,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here