Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bercakap pada sidang media pengumuman rasmi penguatkuasaan Akta Pekerja GIG di Menara PERKESO, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 31 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 yang disifatkan sebagai langkah menyeluruh memastikan hasil pertumbuhan ekonomi negara dapat dirasai seluruh rakyat, khususnya golongan pekerja.

Ramanan berkata, pengumuman itu signifikan kerana manfaatnya tidak tertumpu kepada satu kelompok tertentu, sebaliknya merangkumi pelbagai lapisan tenaga kerja termasuk pekerja berpendapatan rendah dan sederhana, pekerja gig, golongan bekerja sendiri, peniaga serta penjaja kecil, wanita yang menjana pendapatan dari rumah dan golongan belia.

“Pengumuman Perdana Menteri hari ini jelas memperlihatkan prinsip bahawa pertumbuhan ekonomi negara mesti akhirnya diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.

“Bagi saya sebagai Menteri Sumber Manusia, perkara paling penting ialah bagaimana kekuatan ekonomi negara dapat dirasai oleh pekerja dalam kehidupan seharian mereka, sama ada melalui pengurangan tekanan kos sara hidup, peningkatan kemahiran, peluang menjana pendapatan atau sokongan kepada mereka yang bekerja sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara langkah diumumkan ialah peningkatan semula kelayakan asas BUDI95 daripada 200 kepada 300 liter sebulan yang bakal memberi manfaat kepada lebih 16 juta pengguna.

Selain itu, kemudahan BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan turut diumumkan kepada lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak.

Menurut Ramanan, langkah itu penting kepada golongan pekerja yang bergantung kepada kenderaan untuk berulang-alik ke tempat kerja selain mereka yang menggunakan kenderaan sebagai sebahagian daripada aktiviti pekerjaan dan mencari pendapatan.

Beliau turut menyambut baik pengumuman Program AI untuk Rakyat yang menyasarkan 100,000 belia berusia antara 18 hingga 30 tahun, dengan peserta yang melengkapkan modul ditetapkan menerima langganan aplikasi AI terkemuka secara percuma selama tiga bulan.

“Seperti yang saya selalu tegaskan, dunia pekerjaan sedang berubah dengan sangat pantas. AI, automasi dan digitalisasi bukan lagi perkara untuk masa hadapan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada pasaran pekerjaan hari ini.

“Justeru, membuka akses kepada teknologi AI kepada 100,000 anak muda merupakan pelaburan penting untuk mempersiapkan bakat Malaysia dengan kemahiran yang relevan dan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam perubahan landskap pekerjaan global, seperti Program Jelajah AI MYMahir yang menyediakan latihan AI secara percuma kepada lebih 22 ribu rakyat Malaysia dengan peruntukan hampir RM110 juta melalui TalentCorp,” katanya.

Ramanan berkata, golongan pekerja gig, bekerja sendiri, peniaga kecil, wanita yang menjana pendapatan dari rumah dan belia merupakan sebahagian daripada kekuatan ekonomi Malaysia serta tidak boleh tercicir daripada perhatian dan dasar kerajaan.

Katanya, pendekatan itu selari dengan usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) membangunkan pasaran buruh lebih inklusif, meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta memastikan perubahan ekonomi dan teknologi membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.

“Semangat kemerdekaan mesti diterjemahkan kepada kehidupan rakyat. Seorang pekerja harus mempunyai peluang untuk meningkatkan pendapatan, seorang anak muda harus mempunyai kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, dan mereka yang bekerja sendiri harus mempunyai ruang untuk terus berkembang.

“Inilah makna pembangunan yang inklusif apabila kemajuan negara tidak meninggalkan sesiapa di belakang dan hasil pertumbuhan ekonomi dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

Ramanan berkata, beliau yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri dan kerjasama seluruh jentera kerajaan, Malaysia mampu dibangunkan sebagai negara lebih produktif, berkemahiran tinggi dan sejahtera dengan setiap pekerja diberikan peluang menikmati hasil kemajuan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here