SERDANG – Kerajaan tidak boleh terlalu selesa dengan harga beras import yang kini masih murah kerana sebarang gangguan geopolitik berpotensi menjejaskan bekalan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Malaysia tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada bekalan beras dari luar negara, terutama dalam keadaan geopolitik dunia yang semakin tidak menentu.
Menurut beliau, gangguan terhadap laluan perdagangan laut boleh menyebabkan aliran bekalan beras terganggu sekali gus memberi kesan kepada negara.
“Padi ini perkara yang kita tak boleh jemu untuk berikhtiar, berusaha kerana ia adalah soal sekuriti makanan.
“Saya ulang lagi, sekarang kita bernasib baik kerana padi di negara luar, beras kita import agak murah tetapi kita tak boleh bergantung sebegitu selamanya,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari keempat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kerajaan kini memberi perhatian kepada usaha membuka semula kawasan sawah yang terbiar selain menaik taraf kawasan sedia ada bagi meningkatkan pengeluaran padi tempatan.
Jelasnya, antara kawasan yang sedang dibangunkan ialah di Pekan, Pahang, selain beberapa lokasi lain termasuk di Selangor dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
“Soal padi ini kita tak serius sekarang kerana importnya murah, tetapi kita akan terkesan jika berlaku sesuatu menyebabkan harga import meningkat.
“Usaha memperkukuh sektor padi perlu dilakukan secara berterusan dan tidak hanya apabila berlaku krisis bekalan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















