Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki seekor anjing membiarkan haiwannya bergaduh dengan anjing lain dalam kejadian di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membatalkan lesen seekor anjing dan mengkompaun pemiliknya sebanyak RM250 selepas anjing berkenaan menyerang seekor anjing liar di Tanjung Bungah di sini, bulan lalu.

Datuk Bandar MBPP, Datuk A. Rajendran berkata, tindakan itu diambil mengikut Undang-Undang Kecil (Anjing-Anjing) MPPP 1977 susulan kejadian tersebut tular di media sosial.

“Lesen anjing itu dibatalkan dan pemiliknya dikompaun RM250 mengikut Undang-Undang Kecil (Anjing-Anjing) MPPP 1977,” katanya di sini.

Tambah beliau, pemilik memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa individu lain telah membawa anjing itu keluar berjalan pada hari kejadian.

“Anjing berkenaan masih belum diserahkan kepada pemiliknya yang turut dinasihatkan supaya membuat laporan polis,” katanya.

Tiada peruntukan salahkan pemilik jika haiwan bergaduh – JPV

Semalam media melaporkan tiada peruntukan jelas di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] untuk mengenakan kesalahan terhadap pemilik hanya kerana anjing bergaduh atau pemilik tidak meleraikan pergaduhan berkenaan.

Ia susulan kejadian pergaduhan dua ekor anjing di tempat awam di Pearl Hill, Tanjung Bungah di sini, yang tular di media sosial pada 29 Ogos lalu.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, hasil penelitian terhadap aduan serta rakaman video yang dikemukakan mendapati, kejadian tersebut merupakan pergaduhan antara dua ekor anjing.

Menurutnya, selepas semakan dibuat terhadap Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772], tiada peruntukan yang jelas di bawah akta berkenaan yang memperuntukkan kesalahan terhadap pemilik atas kejadian pergaduhan antara haiwan atau kerana pemilik tidak meleraikan pergaduhan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here