MELAKA – Setiap kali hujan lebat, hati Muhammad Hasbullah Hameed, 37, tidak pernah tenteram ketika keluar mencari rezeki.
Fikirannya sentiasa terarah kepada bapanya, Hameed Tambi, 77, yang terlantar akibat penyakit saraf sejak enam tahun lalu di rumah mereka di Kampung Sungai Buluh, Alor Gajah.
Ini kerana bumbung rumah mereka yang rosak teruk menyebabkan air hujan mencurah masuk sehingga membasahi beberapa bahagian kediaman, termasuk kawasan tempat bapanya berbaring.
Namun, keresahan peniaga itu bakal berakhir apabila Kerajaan Negeri Melaka bersetuju membaik pulih kediamannya menerusi peruntukan RM20,000.

Muhammad Hasbullah berkata, selama ini dia terpaksa bergantung kepada bantuan jiran atau saudara-mara untuk mengalihkan bapanya ke bahagian rumah yang tidak terkena air sekiranya hujan lebat ketika dia sedang berniaga.
“Saya terpaksa meminta tolong jiran atau saudara-mara mengalihkan bapa saya ke kawasan dalam rumah yang tidak dibasahi hujan.
“Apabila saya sampai di rumah, keadaan rumah sudah basah teruk akibat air yang masuk dari bumbung yang rosak,” katanya.
Muhammad Hasbullah ditemui pemberita selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengunjungi kediamannya bagi meninjau keadaan rumah dan menziarahi bapanya di Kampung Sungai Buluh, Alor Gajah, di sini hari ini.
Kunjungan itu diadakan sempena Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning.
Menurut Muhammad Hasbullah, masalah bumbung berkenaan bukan sahaja menyebabkan mereka berdepan kesukaran setiap kali hujan lebat, malah membuka ruang kepada haiwan liar seperti monyet memasuki rumah.

“Keadaan itu berlaku terutama di bahagian dapur apabila monyet-monyet masuk untuk mencari makanan,” katanya.
Lebih membimbangkan, dia khuatir struktur bumbung yang semakin uzur boleh runtuh dan membahayakan bapanya sekiranya tidak dibaiki segera.
“Saya risau kalau bumbung rumah ini runtuh dan menimpa bapa saya. Rumah ini juga mempunyai masalah pendawaian,” katanya.
Tambahnya, antara bahagian rumah yang sering dimasuki air hujan ialah ruang tamu, dapur dan dua bilik tidur.
Muhammad Hasbullah berkata, bantuan yang diumumkan kerajaan negeri amat melegakannya selepas sekian lama berdepan masalah berkenaan.
“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Datuk Seri Ab Rauf atas bantuan baik pulih rumah saya ini,” katanya dengan nada terharu.
Sementara itu, Ab Rauf dalam kunjungan berkenaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi membaik pulih kerosakan bumbung kediaman keluarga itu.
Kerja-kerja baik pulih akan dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette
















