Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden bercakap pada pergulungan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat Kali ke-67 di Grand Riverview Hotel, Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 03 SEPTEMBER 2026.

KOTA BHARU – Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mempersoalkan status baki peruntukan RM36.6 bilion yang diluluskan untuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), selepas hanya kira-kira RM12 bilion didakwa telah disalurkan.

Beliau berkata, kerajaan perlu memberikan penjelasan mengenai ke mana perginya baki peruntukan berkenaan, terutama jika kelewatan penyaluran menyebabkan rakyat di kawasan luar bandar gagal menerima manfaat yang sepatutnya.

“Peruntukan diluluskan RM36.6 bilion, tetapi yang disalurkan hanya RM12 bilion. Mana lagi baki yang lain?” katanya ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di sini, hari ini.

Menurut Afnan, persoalan itu tidak seharusnya dilihat dari sudut politik atau dikaitkan dengan individu yang memegang jawatan Menteri KKDW, sebaliknya perlu dilihat sebagai isu berkaitan pengurusan peruntukan kerajaan.

“Jangan melihat menteri yang pegang KKDW itu daripada Presiden UMNO. Kita bukan cakap tentang parti, kita cakap tentang urusan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya peruntukan yang telah diluluskan lambat disalurkan atau terdapat kemungkinan ia disalurkan ke tujuan lain, perkara itu akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.

“Apabila peruntukan ini lambat disalurkan ataupun kemungkinan ada yang dilencongkan ke lain, maka siapa yang akan menerima implikasi?

“KKDW, orang sambung luar bandar yang menjerit di kawasan-kawasan lain,” katanya.

Sehubungan itu, Afnan menegaskan, kerajaan perlu memastikan setiap peruntukan yang diluluskan disalur mengikut tujuan asal supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasaran, khususnya penduduk luar bandar. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here