KUANTAN – “Berat, sangat berat keputusan ini…”

Itulah luahan ahli keluarga mangsa selepas kehilangan pemiliknya yang maut bersama suami dan anak dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) baru-baru ini, Cafe Secangkir di sini bakal menutup tirai buat selama-lamanya.

Lebih memilukan, esok, Jumaat, 4 September menjadi hari terakhir operasi kafe berkenaan sebelum keluarga menutup tirainya buat selama-lamanya.

Menerusi satu hantaran di media sosial, keluarga memaklumkan keputusan itu terpaksa dibuat kerana mereka tidak lagi mampu meneruskan operasi kafe yang selama ini digerakkan oleh arwah.

“Sayang seribu kali sayang, tapi terpaksa juga kerana nyawa dan roh di kafe tersebut sudah tiada.

“Kami juga tiada kepakaran untuk menghasilkan semula kek-kek arwah Sofiya kerana semuanya unik dan berbeza setiap minggu,” katanya.

Untuk hari terakhir, Cafe Secangkir akan dibuka dari jam 3 petang hingga 9 malam dengan jualan hanya membabitkan kopi dan kek.

Bekalan juga terhad dengan hanya 300 cawan kopi disediakan, manakala pelanggan dihadkan membeli satu keping kek seorang.

Keluarga turut memaklumkan semua stok dan peralatan kedai akan dilelong selepas operasi terakhir itu.

Hasil jualan pula akan digunakan sekiranya masih terdapat hutang atau urusan tertunggak yang ditinggalkan arwah.

“Berat, sangat berat keputusan ini, tapi kami rasa itulah yang terbaik.

“Terima kasih kepada semua yang pernah support Cafe Secangkir dari awal dan esok adalah hari terakhir legasi Secangkir,” katanya.

Terdahulu Nur Atiqah Sofiya bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka berusia empat tahun maut dalam nahas di Kilometer 110.3 LPT arah timur pada Isnin lalu.

Seorang lagi mangsa yang maut ialah penumpang Honda CR-V, Seow Beng Wain, 55, dari Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.

Ketiga-tiga mereka dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menyambut Hari Kebangsaan di Putrajaya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here