KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh peranannya sebagai rakan strategik Malaysia Energy Literacy Program (MELP) dengan membawa pendidikan dan kefahaman berkaitan tenaga lebih dekat kepada masyarakat, khususnya komuniti luar bandar.
Komitmen itu diterjemahkan menerusi penganjuran Program MELP Bersama Komuniti Mukim Cheka 1 di Kuala Lipis, Pahang, yang menghimpunkan kira-kira 600 penduduk dari sembilan kampung.
Program separuh hari itu bertujuan meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai pengurusan tenaga, menggalakkan penggunaan elektrik secara cekap dan selamat serta membuka ruang libat urus dua hala antara TNB dan komuniti setempat.
Ia turut melibatkan kira-kira 100 murid sekolah rendah menerusi pertandingan mewarna bertemakan tenaga lestari, selain sesi perkongsian dan interaksi bersama komuniti.
Dalam program berkenaan, TNB turut menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat berjumlah RM75,000 kepada sekolah, masjid, surau dan pertubuhan kebajikan di sekitar Mukim Cheka 1.
Program itu dihadiri Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MELP Kebangsaan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Mareena Mahpudz; Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Kamal Arifin A. Rahman; serta Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Pemegang Taruh TNB, Shahannom Izham.
Abdul Rahman berkata, literasi tenaga merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat yang mampu membuat pilihan berkaitan tenaga secara lebih bijak, selain memainkan peranan dalam menjayakan agenda peralihan tenaga negara.
“Peralihan tenaga tidak boleh bergantung kepada dasar, teknologi dan pelaburan semata-mata. Justeru, program seperti MELP perlu sampai kepada masyarakat di peringkat akar umbi, termasuk komuniti luar bandar, supaya mereka memahami perubahan dalam landskap tenaga dan mengetahui bagaimana mereka boleh memainkan peranan,” katanya.
Menurutnya, Program MELP Bersama Komuniti Mukim Cheka 1 merupakan sebahagian pendekatan MELP untuk memperluas pendidikan literasi tenaga ke peringkat akar umbi, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Tiga fokus utama pembelajaran diketengahkan dalam program itu iaitu pemahaman bil elektrik dan aplikasi myTNB, penjimatan serta kecekapan tenaga dan keselamatan elektrik.
Pendekatan berkenaan bertujuan menjadikan pengetahuan berkaitan tenaga lebih mudah difahami, praktikal dan relevan dengan kehidupan seharian, sekali gus membantu masyarakat membuat keputusan penggunaan tenaga secara lebih bermaklumat.
Penganjuran program itu turut menterjemahkan tiga daripada empat Teras Strategik MELP Kebangsaan iaitu Pendidikan dan Perubahan Tingkah Laku, Komunikasi dan Kesampaian serta Pemerkasaan Masyarakat.
Sementara itu, Shahannom berkata, sebagai syarikat utiliti nasional, tanggungjawab TNB bukan sahaja memastikan bekalan elektrik yang stabil dan boleh dipercayai, malah membantu masyarakat memahami tenaga supaya dapat menggunakannya secara cekap, selamat dan bertanggungjawab.
“Bagi TNB, literasi tenaga adalah sebahagian daripada usaha mendekatkan tenaga dengan kehidupan seharian rakyat.
“Melalui MELP, kami bukan sahaja berkongsi pengetahuan mengenai bil elektrik, kecekapan tenaga dan keselamatan elektrik, tetapi turut membuka ruang untuk mendengar pandangan serta memahami keperluan masyarakat,” tambahnya.
MELP merupakan platform literasi tenaga nasional yang bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai tenaga serta memperkasa rakyat Malaysia untuk membuat keputusan berkaitan tenaga secara lebih bermaklumat.
Program itu mula diperkenalkan TNB pada 2020 sebelum diiktiraf sebagai agenda negara dan dilancarkan secara rasmi pada 1 Mac 2023.
Peranan MELP terus diperkukuh dalam menyediakan maklumat tenaga yang tepat dan boleh dipercayai, selain menyokong pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Sebagai rakan strategik MELP, TNB kekal komited menyokong pelaksanaan program berkenaan.
Pada 2025, TNB menggerakkan pelbagai inisiatif strategik MELP termasuk lebih 50 program, 20 kolaborasi strategik dan enam pembentangan di peringkat antarabangsa.
Melalui kerjasama berterusan antara kerajaan, TNB, agensi berkaitan dan masyarakat, MELP diharap dapat membentuk masyarakat yang lebih celik tenaga, bersedia menghadapi perubahan landskap tenaga serta memainkan peranan aktif dalam menyokong aspirasi peralihan tenaga negara. – MalaysiaaGazette
















