Peguam Sivahnanthan Ragava

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa segera meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi memberi mahkamah kuasa mempertimbangkan jaminan atas faktor kemanusiaan, khususnya membabitkan wanita hamil dan individu yang menghidap penyakit kritikal.

Bercakap kepada MalaysiaGazette baru-baru ini, peguam Sivahnanthan Ragava berkata, keperluan itu semakin mendesak susulan dua kes anak guamnya, termasuk seorang wanita yang mengalami keguguran ketika berada dalam tahanan.

Manakala seorang lagi lelaki yang menghidap kanser sehingga merebak ke paru-paru tetapi masih menjalani kemoterapi di penjara.

Menurut beliau, undang-undang sedia ada tidak memberikan ruang mencukupi kepada mahkamah untuk mengambil kira keadaan kesihatan atau faktor kemanusiaan seseorang yang belum disabitkan kesalahan.

Sivahnanthan berkata, beliau mewakili seorang wanita yang ditahan di Penjara Wanita Kajang ketika sedang hamil sebelum wanita itu mengalami keguguran ketika berada dalam tahanan.

“Dia terpaksa melalui persekitaran penjara, tekanan dan keresahan, malah dikehendaki melakukan kerja ketika dipenjarakan.

“Dia belum dibuktikan bersalah. Sekiranya undang-undang memberi mahkamah ruang mempertimbangkan jaminan berdasarkan kehamilan dan keadaannya, mungkin satu nyawa dapat diselamatkan,” katanya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang lagi anak guamnya menghidap kanser hidung yang sudah merebak ke paru-paru, selain kehilangan penglihatan pada sebelah mata.

Lelaki itu, katanya, masih berada di Penjara Sungai Buloh dan menjalani kemoterapi ketika berdepan pertuduhan serius di bawah undang-undang dadah.

“Ini menimbulkan persoalan asas tentang kemanusiaan,” tegasnya.

Sivahnanthan turut mempersoalkan mengapa undang-undang menyediakan ruang pertimbangan kemanusiaan dalam kesalahan tertentu tetapi tidak memberikan pengecualian sama dalam kes dadah.

Beliau merujuk Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), yang menurutnya menyediakan ruang jaminan dalam keadaan tertentu membabitkan wanita, individu sakit atau uzur serta mereka yang berusia bawah 18 tahun.

“Jadi mengapa Akta Dadah Berbahaya tidak mempunyai pengecualian kemanusiaan yang sama untuk wanita hamil atau orang kena tuduh yang kritikal sakit?” soalnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan itu bukan bermaksud semua individu yang didakwa melakukan kesalahan pengedaran dadah perlu diberikan jaminan.

Sebaliknya, mahkamah hanya perlu diberi budi bicara terhad untuk mempertimbangkan kes luar biasa berdasarkan faktor kemanusiaan, dengan syarat ketat bagi memastikan proses keadilan tidak terjejas.

Antara kawalan yang boleh dikenakan termasuk alat pemantauan elektronik (EMD), penyerahan pasport dan kewajipan melapor diri bagi mengurangkan risiko melarikan diri.

“Orang yang dituduh masih merupakan orang kena tuduh, bukannya orang yang telah disabitkan kesalahan.

“Hukuman sepatutnya datang selepas sabitan. Jangan sampai seseorang meninggal dunia atau kehilangan anak dalam kandungan hanya kerana undang-undang tidak memberi mahkamah ruang untuk membuat pertimbangan kemanusiaan sebelum perbicaraan bermula,” tegasnya.

Beliau turut mencadangkan supaya mekanisme sama diwujudkan bagi banduan yang telah disabitkan kesalahan tetapi kemudiannya menghidap penyakit terminal atau mengancam nyawa.

Katanya, undang-undang wajar menyediakan mekanisme untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman atau membolehkan pembebasan atas dasar belas ihsan sekiranya penahanan berterusan tidak lagi mempunyai tujuan yang bermakna.

“Saya berharap kerajaan segera mempertimbangkan pindaan terhadap Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi mewujudkan peruntukan jaminan kemanusiaan yang dikawal ketat.

“Ini bukan soal berlembut terhadap dadah, tetapi memastikan usaha membanterasnya tidak dilakukan dengan mengorbankan nilai kemanusiaan,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here