GOPENG – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak berpandangan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak perlu diadakan lebih awal daripada tempoh penggal kerana kerajaan masih mempunyai tempoh untuk melaksanakan agenda pembangunan yang dirancang.
Naib Pengerusi PKR Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, dalam konteks negeri, beliau melihat tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tindakan itu boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran dan perancangan kerajaan.
“Saya lihat tidak perlu untuk kita tergesa-gesa bubar (DUN atau Parlimen) lebih awal kerana apabila tempoh pentadbiran dipendekkan, ia akan mengganggu urusan kerajaan dan perancangan yang sedang dilaksanakan.
“Ada negeri yang mengadakan pilihan raya ketika tempoh pentadbiran baru masuk tiga tahun. Bagi saya ia hanya merugikan rakyat apabila DUN dibubarkan kerana banyak perancangan memerlukan masa untuk diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Kaunter Khidmat Parlimen Gopeng DUN Teja di Dewan Serbaguna Lawan Kuda Baru, di sini, pada Sabtu.
Beliau diminta mengulas berkenaan pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berpandangan PRU16 lebih baik diadakan lebih awal sebelum menghampiri tempoh penggal Parlimen yang dijadual berakhir pada hujung tahun depan.
Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata, langkah mengadakan pilihan raya lebih awal membolehkan mandat baharu untuk mentadbir kerajaan diperoleh daripada rakyat.
Mengulas lanjut, Sandrea yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak berkata, kerajaan negeri ketika ini perlu memanfaatkan baki tempoh pentadbiran yang ada bagi memastikan pelbagai agenda yang dirancang dapat direalisasikan.
Ujar beliau, kerjasama baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan turut membuka ruang kepada pelaksanaan lebih banyak projek pembangunan serta kerja naik taraf yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Setiap tahun kita menerima peruntukan daripada Persekutuan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan, manakala di peringkat negeri pula terdapat projek berimpak besar yang sedang dijalankan.
“Banyak kerja dan projek yang telah dirancang memerlukan masa untuk direalisasikan, jadi kita perlu manfaatkan tempoh yang masih ada untuk menyelesaikan apa yang patut dan membawa agenda yang telah dirancang,” katanya.
Menurut Shy Ching, kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan di Perak ketika ini juga berjalan dengan baik di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Kata beliau, hubungan rapat dalam kalangan pimpinan Pakatan Harapan dan BN serta ruang perbincangan yang sentiasa terbuka membolehkan sebarang isu diselesaikan secara bersama di peringkat negeri.
Malah tambah beliau, prestasi ekonomi Perak yang mencatatkan antara kadar pertumbuhan tertinggi berdasarkan laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu menunjukkan negeri itu berada pada landasan yang betul.
“Selagi berada di bawah Kerajaan Perpaduan, kita akan fokus melaksanakan agenda yang dipersetujui bersama dan melakukan apa yang patut untuk rakyat.
“Masing-masing memainkan peranan serta memberikan komitmen bagi memastikan sebarang agenda Kerajaan Perpaduan di Perak ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PRU16 lebih awal: Belum ada perbincangan dengan PM, kata Zahid
















