KUALA LUMPUR – Parti baharu seperti Wawasan perlu membuktikan keupayaan melalui prestasi dan kemenangan kerusi jika mahu membina sokongan dalam kalangan pengundi bukan Melayu, bukannya bergantung kepada naratif politik semata-mata.
Itu kata ahli akademik dan penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Lau Zhe Wei.
Beliau berkata, laluan untuk Wawasan mendapatkan sokongan besar masyarakat bukan Melayu bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam tempoh singkat kerana parti berkenaan masih perlu membina keyakinan dan membuktikan nilai yang ditawarkannya kepada pengundi.
Menurutnya, pendekatan paling realistik ialah mendapatkan kerusi boleh dimenangi, membuktikan prestasi selepas memperoleh mandat dan menggunakan pencapaian itu untuk membina keyakinan pengundi.
“Perubahan sokongan kepada Wawasan lebih bergantung kepada prestasi, bukan sekadar naratif atau propaganda. Tetapi ini memerlukan masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Forum Politiko bertajuk “Masa Depan Bukan Melayu Dalam Naratif PN-BN”, yang dikendalikan penganalisis politik, Dr. Armin Baniaz Pahamin, di sini hari ini.
Zhe Wei berkata, Wawasan mempunyai kelebihan kerana sebagai parti baharu, ia belum mempunyai beban politik atau persepsi lama yang sering dikaitkan dengan parti-parti sedia ada.
Katanya, keadaan itu memberikan ruang kepada Wawasan untuk membentuk naratif baharu, khususnya dalam kalangan pengundi Cina kali pertama yang tidak mempunyai keterikatan sejarah dengan parti seperti DAP atau MCA.
Namun, beliau berkata Wawasan perlu mempunyai nilai tawaran yang jelas dan unik kepada masyarakat Cina supaya mereka mempunyai sebab untuk mempertimbangkan parti berkenaan berbanding pilihan yang sedia ada.
Dalam masa sama, Zhe Wei berkata MCA masih berada pada tahap di mana pengundi sekurang-kurangnya mempertimbangkan parti itu sebagai satu pilihan, berbeza dengan sesetengah parti lain yang sudah tidak lagi berada dalam pertimbangan sebahagian pengundi.
“Kalau nilai yang ditawarkan itu hilang, parti juga akan hilang sebab untuk dipertimbangkan oleh pengundi,” katanya.
Zhe Wei berkata, bagi Wawasan, usaha mendapatkan lebih banyak kerusi melalui rundingan dan seterusnya membuktikan kemampuan selepas menang merupakan laluan yang lebih kukuh untuk membina sokongan bukan Melayu dalam jangka panjang.
Beliau berkata, pengundi muda yang kurang mempunyai beban atau ingatan politik masa lalu boleh menjadi ruang penting bagi parti baharu membina sokongan.
Ini berbanding cuba mengubah persepsi pengundi lebih berusia yang sudah mempunyai pendirian politik tersendiri. -MalaysiaGazette
















