GEORGE TOWN – Penganjuran aktiviti sukan luar ketika keadaan jerebu perlu mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan bagi memastikan kesihatan atlet tidak terjejas.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, keputusan membenarkan sesuatu acara sukan dilaksanakan bergantung kepada keadaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan berkenaan serta garis panduan yang ditetapkan kerajaan.
Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memantau keadaan semasa dari hari ke hari dengan mendapatkan maklumat dan laporan daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta agensi berkaitan.
“Sudah pasti kita sentiasa berbincang dan mengadakan komunikasi bersama Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memastikan kadar kesihatan atlet-atlet kita ini tidak terjejas.
“Keutamaan kita adalah kesihatan atlet dan dalam masa yang sama kita tidak menjejaskan sebarang latihan yang telah ditetapkan,” katanya selepas menghadiri majlis Flag Off Oregeon Tower Run Series @ The Top Penang di sini, hari ini.
Tambah beliau, perkara itu penting memandangkan atlet negara kini giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Katanya, aktiviti luar tidak dibenarkan di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tinggi dan berada dalam zon merah.
“Sebagai contoh di Serian, sekarang ini IPU sangat tinggi dan juga dalam zon merah. Sudah pasti kita melarang diadakan sebarang aktiviti luar.
“Setiap acara sukan yang ingin dilaksanakan perlu mendapat kelulusan kementerian dan keputusan mengenainya akan dibuat berdasarkan garis panduan kerajaan.
“Keutamaan kita adalah kesihatan atlet, kesihatan masyarakat secara keseluruhannya.
Tetapi di mana-mana tempat yang kadar IPU rendah dan juga selamat atau sederhana, itu kita masih membenarkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















