ISKANDAR PUTERI – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, masih terlalu awal untuk menamakan calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, perkara itu belum boleh diputuskan memandangkan tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-16 juga masih belum diketahui.
“Terlalu awal untuk meletakkan seseorang atau sesuatu atau susuk tubuh untuk memegang jawatan itu (Perdana Menteri) dan ini sebab pilihan raya mungkin masih jauh.
“Kita tidak tahu bila Parlimen dibubarkan saya fikir elok kita ketepikan soal itu dululah kita tumpukan kepada menghadapi pilihan raya di Melaka,” ulasnya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan Jakoa di EduCity di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Penerangan Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa), Muhammad Akmal Ila Ahmad.
Jumaat lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, Pas mengakui mempunyai calon Perdana Menteri daripada parti itu bagi menghadapi PRU-16 akan datang, namun belum tiba masanya untuk mendedahkan individu berkenaan.
Menurut Abdul Hadi, penentuan calon Perdana Menteri hanya akan dibuat selepas melihat kekuatan kerusi yang dimenangi parti-parti bertanding pada pilihan raya berkenaan.
“Belum tiba masanya. Kita belum tahu lagi kerusi siapa banyak, siapa sedikit,” katanya dalam sidang akhbar Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kota Bahru.
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, tumpuan ketika ini adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan selepas itu baru berbincang isu berkaitan Persekutuan.
Zahid Hamidi berkata, isu tersebut termasuk kerjasama dengan Pas dan hanya akan dibincangkan selepas pembubaran DUN Melaka.
Ditanya sama ada cadangan PRU-16 akan dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu depan, beliau berkata, perkara tersebut adalah bawah kuasa, nasihat dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Pihaknya akan akur dengan sebarang titah yang dikeluarkan baginda selepas mendapat nasihat dan pandangan daripada kerajaan. – MalaysiaGazette
















