NIBONG TEBAL – Tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) akan ditutup, sebaliknya sekolah berkenaan akan terus diberi perhatian menerusi pembangunan, penyelenggaraan serta pengukuhan aspek pendidikan,” tegas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Fadhlina berkata, penegasan itu perlu diulangi berikutan masih terdapat pandangan dalam masyarakat yang mendakwa sekolah berkenaan akan ditutup.
“Saya perlu ulang penegasan kerana masih ada lagi dalam masyarakat kita yang memberikan satu pandangan bahawa sekolah-sekolah ini akan ditutup dan sebagainya.
“Tapi kita bagi jaminan, sebagai Kerajaan Madani, tiada SJKT yang akan ditutup,” katanya hari ini.
Tambah beliau, perhatian kerajaan terhadap SJKT bukan hanya tertumpu kepada pembangunan dan penyelenggaraan sekolah, malah merangkumi program berkaitan pengukuhan guru serta murid.
“Kerajaan akan memberikan tumpuan kepada semua sekolah untuk pembangunan, penyelenggaraan dan program-program yang berkaitan dengan pengukuhan guru dan juga para pelajar,” katanya.
Terdahulu Fadhlina menyempurnakan Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) SJKT Sungai Bakap di sini.

Pada majlis itu Fadhlina berkata, pembinaan SJKT Sungai Bakap yang baharu membabitkan kos RM12.6 juta dilaksanakan Yayasan Didik Negara dan dijangka mengambil masa 56 minggu untuk disiapkan.
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri akan memantau proses pembinaan sekolah itu bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut perancangan.
“Sekolah ini sangat penting untuk Sungai Bakap dan pembinaannya akan mengambil kira keperluan anak-anak secara komprehensif.
“Ia pastinya akan memberikan satu tujuan yang penting untuk pendidikan, bukan sahaja di peringkat menengah tetapi juga untuk negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















