Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bercakap kepada media pada program Wakil Rakyat Untuk Rakyat DUN Ayer Limau, Masjid Tanah. Foto FAREEZ FADZIL, 06 SEPTEMBER 2026.

MELAKA – Sebanyak 3,596 atau 72 peratus daripada 5,000 aduan rakyat yang diterima dari seluruh negeri Melaka, berjaya diselesaikan menerusi 27 siri program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) sejak dua tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, baki 1,404 aduan lagi kini dalam proses penelitian dan kajian oleh jabatan, agensi dan kementerian berkaitan sebelum tindakan susulan dilaksanakan.

“Di sebalik setiap aduan ini, ada rakyat yang menunggu, ada keluarga yang mengharapkan penyelesaian dan mungkin ada masalah yang telah sekian lama rakyat pendam tanpa tahu ke mana hendak dibawa.

“Maka WRUR yang kini memasuki siri ke-27 membolehkan kerajaan negeri turun padang bagi mendengar sendiri permasalahan rakyat selain memastikan isu berbangkit diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program WRUR peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Ab Rauf berkata, pada hari pertama WRUR DUN Air Limau hari ini, sebanyak 97 aduan rakyat diterima di kaunter-kaunter jabatan dan agensi berkaitan yang terlibat dalam program itu.

Beliau memberi jaminan bahawa semua aduan rakyat itu akan cuba diselesaikan dalam tempoh dua minggu berdasarkan jenis masalah yang dibangkitkan.

 

Pendekatan itu jelasnya, membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan setiap aduan yang dikemukakan tidak terhenti setakat penerimaan aduan, sebaliknya diberi tindakan susulan.

“Datanglah bersuara, beritahu apa yang belum selesai dan bawa kepada perhatian kita apa yang masih membebankani.

“Jangan fikir masalah anda terlalu kecil untuk dibawa kepada kerajaan. Selagi ia memberi kesan kepada kehidupan, maka ia cukup besar untuk diberikan perhatian oleh kerajaan negeri,” tambahnya. – MalaysiaGazzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here