KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menasihati rakyat supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat cuaca panas serta jerebu yang sedang melanda.
Menerusi laman sosial Kesultanan Pahang, baginda berdua mengingatkan orang ramai supaya meminum air secukupnya, mengurangkan aktiviti fizikal berat di kawasan terbuka terutama ketika cuaca paling panas, memakai pakaian ringan dan longgar serta berehat di tempat teduh atau kawasan yang sejuk.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya peka terhadap tanda-tanda awal masalah berkaitan haba seperti sakit kepala, pening, loya, kekejangan otot, keletihan melampau dan kekeliruan, serta mendapatkan rawatan segera sekiranya keadaan menjadi serius.
“Nasihat tersebut dizahirkan susulan kejadian seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, yang meninggal dunia selepas mengalami masalah berkaitan haba ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) di Kampus UiTM Jengka.
“Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, tengah hari semalam,” katanya melalui hantaran di laman Facebook.
Dalam kejadian tersebut, katanya lapan lagi pelajar turut dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah berkaitan haba ketika menyertai acara ketahanan berkenaan di mana dua pelajar termasuk Allahyarham menerima rawatan di HoSHAS, manakala tujuh lagi dilaporkan dirawat di Hospital Jengka.
Sehubungan itu katanya, Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar para pelajar yang masih menerima rawatan diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Mahasiswa UiTM meninggal dunia ketika KKEC alami sesak nafas, paras oksigen turun
















