MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka menyediakan platform khusus menghimpunkan golongan muda bagi memastikan aspirasi, cabaran dan potensi generasi itu dapat difahami serta diterjemahkan dalam agenda pembangunan negeri.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, keperluan itu menjadi antara asas penganjuran Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 yang menghimpunkan pelbagai segmen kehidupan golongan muda dalam satu platform.
“Atas dasar itulah, kita anjurkan Karnival Anak Muda Negeri Melaka ini yang merentasi pelbagai dunia anak muda.
“Daripada pesta makanan, townhall, permotoran dan sukan, hinggalah kepada kerjaya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi, kecerdasan buatan (AI), sukan, keusahawanan, makanan serta permotoran.
“Kalau kita mahu membina Melaka untuk masa hadapan, kita mesti mula dengan membina anak mudanya pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Majlis perasmian penutupan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Melaka mempunyai hampir 300,000 anak muda yang merupakan aset penting serta nadi kepada pembangunan dan kemajuan negeri.

Menurutnya, golongan itu terdiri daripada pelbagai latar belakang dan keperluan termasuk pelajar, mereka yang baru memasuki alam pekerjaan, usahawan, pencari peluang mengembangkan bakat serta penghantar p-hailing.
“Dalam beberapa tahun sahaja lagi, merekalah yang akan menjadi jurutera, guru, usahawan, pemimpin industri kita dan pemimpin masyarakat.
“Sebab itu kita perlu memahami mereka dari sekarang, bukan hanya apabila mereka sudah menjadi sebahagian daripada tenaga kerja atau kepimpinan masyarakat,” katanya.
Ab Rauf berkata, pendekatan menerusi karnival itu membolehkan golongan muda bukan sekadar hadir untuk berhibur dan berkumpul, malah memperoleh manfaat yang boleh membantu masa depan mereka.
Menurutnya, lebih 30 program dan pengisian disusun sepanjang tiga hari penganjuran karnival berkenaan, termasuk 20 reruai membabitkan pemain industri, institusi TVET dan agensi kerajaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, hampir 70,000 pengunjung direkodkan menghadiri karnival berkenaan sehingga jam 4 petang pada hari terakhir penganjurannya.
Katanya, lebih 15,000 anak muda khususnya daripada komuniti permotoran turut berhimpun pada hari terakhir program berkenaan. – MalaysiaGazette
















