Xplorasi Warisan KL bukan sekadar sebuah pertandingan, sebaliknya menjadi medium untuk masyarakat mengenali sejarah Kuala Lumpur secara lebih dekat.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka 2026 yang menghimpunkan lebih 300 peserta dalam sebuah cabaran eksplorasi bandar bertemakan warisan berjaya menyemarakan semangat patriotik dan kecintaan terhadap warisan negara.

Dianjurkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan, acara berkenaan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menelusuri semula perjalanan negara menuju kemerdekaan menerusi beberapa lokasi bersejarah di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Perjalanan simbolik itu bermula di Stadium Merdeka, lokasi bersejarah pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957 sebelum peserta meneruskan eksplorasi ke beberapa lokasi ikonik termasuk Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Central Market, Daya Bumi, Petaling Street, Masjid Jamek dan Bangunan Sultan Abdul Samad sebelum menamatkan cabaran di Dataran Merdeka.

Wakil Sekretariat Bersama Warisan KL, Datuk Mohamed Nasri Sallehuddin berkata, kawasan warisan perlu terus dihidupkan menerusi pengalaman yang membolehkan masyarakat berinteraksi secara langsung dengan sejarah dan komuniti setempat.

Menurutnya, Xplorasi Warisan KL bukan sekadar satu cabaran berasaskan warisan malah merupakan peluang untuk rakyat Malaysia mengenali sejarah Kuala Lumpur secara langsung serta menghayati kisah, lokasi dan insan yang telah membentuk negara.

“Sepanjang perjalanan dari Stadium Merdeka ke Dataran Merdeka, peserta dapat melihat bagaimana warisan terus hidup melalui komuniti, tradisi dan pengalaman bersama yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat hari ini.

Acara pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Wakil Sekretariat Bersama Warisan KL, Datuk Mohamed Nasri Sallehuddin dan tuan rumah Stadium Merdeka, PNB Merdeka Ventures, Datuk Ir. Ts. (Dr.) Izwan Hasli.
“Inisiatif sedemikian diharap dapat mendorong lebih ramai masyarakat meneroka dan menghargai warisan bersama supaya kekal bermakna serta relevan kepada generasi akan datang.

“Pada masa sama, program ini turut disertai aktiviti komuniti dan persembahan kebudayaan yang mengetengahkan kepelbagaian budaya serta sejarah Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, pasukan Baby G NST muncul juara Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka 2026 dan menerima wang tunai RM4,000, manakala KITA TRY di tempat kedua dengan RM3,000.

Tempat ketiga dimenangi Baru Nak Up BERNAMA yang membawa pulang RM2,000, diikuti TERUNION di tempat keempat (RM1,000) dan BAGAN HUNTERS di tempat kelima (RM700).

Mohamed Nasri menambah, usaha menghidupkan kawasan warisan menerusi aktiviti masyarakat dilihat penting bagi memastikan lokasi bersejarah terus mempunyai fungsi dalam kehidupan bandar moden, termasuk sebagai ruang sosial, pelancongan dan ekonomi komuniti.

Acara pelepasan peserta Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka 2026 telah disempurnakan Mohamed Nasri dan tuan rumah Stadium Merdeka, PNB Merdeka Ventures, Datuk Ir. Ts. (Dr.) Izwan Hasli.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Wilayah Persekutuan, Puan Farah Adura Hamidi, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, DBKL, Encik Faizal Mahmood, selain pemegang taruh serta rakan strategik utama. – MalaysiaGazette

Xplorasi Warisan KL bukan sekadar satu cabaran berasaskan warisan, malah merupakan peluang untuk rakyat Malaysia mengenali sejarah Kuala Lumpur secara langsung.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here