Fadhlina Sidek menyampaikan cek cura kepada Jawatankuasa Pembangunan SJKC Boon Beng, Pulau Pinang.

SIMPANG AMPAT – Sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi membantu pembinaan blok tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng di sini, yang membabitkan keseluruhan projek bernilai RM8.6 juta.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi Peruntukan Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu pembinaan blok tambahan yang merangkumi 12 bilik darjah serta kemudahan lain.

Beliau berkata, walaupun jumlah berkenaan tidak mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan projek, ia tetap membantu pihak sekolah dan komuniti meneruskan usaha yang sudah dimulakan.

“Bila melibatkan pendidikan anak-anak, keperluan yang ada di depan mata mesti kita selesaikan.

“Keseluruhan projek bernilai RM8.6 juta dan tentunya RM500,000 ini bukan menyelesaikan semuanya tetapi ia membantu sekolah dan komuniti meneruskan usaha yang telah dimulakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tambah Fadhlina, kerajaan akan terus melihat keperluan sekolah berdasarkan keadaan sebenar, termasuk sekolah yang perlu dibaiki, berdepan kekurangan ruang atau memerlukan kemudahan lebih baik.

“Ada sekolah yang perlu dibaiki. Ada yang berdepan kekurangan ruang. Ada yang memerlukan kemudahan lebih baik.

“Tugas kita adalah melihat keperluan itu dan membantu berdasarkan apa yang benar-benar diperlukan kerana akhirnya, apa juga nama yang tertulis di pintu pagar sekolah, yang belajar di dalamnya tetap anak-anak Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, SJKC Boon Beng tahun lalu menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya dalam satu majlis yang turut dihadiri Fadhlina. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here