Penduduk Kampung Parit Kassan sedang menantikan detik 31 Ogos sempena sambutan Ambang Merdeka 2026.

TANGKAK – Sambutan bulan kemerdekaan bukan sekadar disambut dengan kemeriahan namun perlu disematkan dengan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parit Kassan dalam Mukim Grisek menganjurkan program Ambang Merdeka 2026 dalam usaha menyatukan masyarakat kampung berbilang peringkat umur mencintai negara.

Pengerusi JPKK Parit Kassan, Mohd Zin Suratman berkata, setiap individu perlu mempunyai jati diri dan semangat patriotik yang perlu ditanamkan setiap masa bukan ketika sambutan Hari Kebangsaan sahaja.

Kassan, Mohd Zin Suratman menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan nama bertuah.

Katanya, JPKK Parit Kassan mengadakan sambutan Ambang Merdeka bertujuan menyatukan masyarakat kampung dalam meraikan Hari Kebangsaan Ke-69 dengan penuh semangat patriotik terutama menjelang detik 31 Ogos.

Menurutnya, tarikh 31 Ogos bukan hanya disambut sebagai ulang tahun kemerdekaan sahaja tetapi juga detik sejarah untuk mengimbau pengorbanan dan jasa besar para pejuang kemerdekaan negara.

”Kemerdekaan yang kita kecapi hari ini bukanlah sesuatu yang mudah diperolehi tetapi ia menuntut pengorbanan yang amat tinggi dan penyatuan rakyat Malaysia daripada dijajah.

Para juri sedang mengadili pertandingan yang dijalankan sempena program Ambang Merdeka.

”Tanggungjawab kita adalah mempertahankan kedaulatan yang diamanahkan oleh nenek moyang kita agar negara kita terus aman dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap pada program Ambang Merdeka 2026 di pekarangan Atuk Janis Glass Event Hall, Kampung Parit Kassan di Bukit Gambir, di sini baru-baru ini.

Mohd Zin berkata, sebagai rakyat perlu sentiasa menyemarakkan semangat cintakan negara dan sentiasa bersyukur serta bersatu padu dalam menjalani kehidupan seharian.

Penduduk Kampung Parit Kassan sedang menyaksikan wayang pacak.

Beliau berkata, antara pengisian program Ambang Merdeka ialah pertandingan payung merdeka, hiasan kek merdeka, aksesori merdeka, wayang pacak dan cabutan nama bertuah.

”Kami turut menyanyikan lagu-lagu patriotik antaranya Jalur Gemilang dan 31 Ogos dengan penuh semangat sambil menyaksikan persembahan bunga api sambil menghitung detik 31 Ogos dan melaungkan ’Merdeka’ berulang kali,” jelasnya.

Mohd Zin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama jawatankuasa penganjur yang dapat menarik kehadiran masyarakat kampung menyertai program gilang gemilang itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here