PONTIAN – Sebuah kereta dan lapan buah motosikal musnah selepas sebuah stor penyimpanan berhampiran rumah terbakar di Kampung Lorong Haji Duda, Kampung Sungai Dinar di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan I Dzulkhan Iskandar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 1.09 petang.
Susulan itu katanya, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 25 kilometer dari balai.
“Kebakaran stor simpanan itu berkeluasan kira-kira 30×60 kaki yang berhampiran dengan rumah serta melibatkan lapan buah motosikal.

“Daripada jumlah tersebut, empat buah motosikal telah dikenal pasti iaitu dia buah Yamaha LC 135, Yamaha RXZ dan Yamaha 125, manakala empat motosikal lain tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Dzulkhan, kebakaran turut melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang musnah kira-kira 50 peratus.
Tambahnya, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette
















