MELAKA – Komitmen Kerajaan Negeri Melaka membangunkan Jeti Paya Lebar Eco Cruise Sungai Linggi sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf dunia turut membuka lembaran baharu kepada kira-kira 40 nelayan tempatan yang kini berperanan sebagai ‘duta kecil’ pelancongan negeri.
Pengerusi Persatuan Nelayan Melaka Barat, Mohd Nor Ibrahim berkata, lebih 10,000 pelancong asing termasuk dari Eropah telah menggunakan perkhidmatan Eco Cruise Sungai Linggi di Paya Lebar, sekali gus membuktikan produk pelancongan itu semakin dikenali di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, Paya Lebar kini menerima kunjungan pelancong dari United Kingdom, Sepanyol, Hungary, Mesir, Jepun dan Singapura.

“Ia sekali gus menjadikan nelayan Paya Lebar ini bukan sahaja sebagai nelayan, tetapi juga duta kecil pelancongan kepada negeri dan negara,” katanya.
Mohd Nor ditemui selepas Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat @ Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Jeti Paya Lebar Eco Cruise Sungai Linggi, Masjid Tanah di sini hari ini.
Program berkenaan dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Pada majlis itu, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri akan menggerakkan Projek Pembangunan Ekopelancongan Paya Lebar bernilai RM7.9 juta yang dijangka menjadi pemangkin baharu kepada aktiviti ekonomi dan pelancongan setempat.

Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, Paya Lebar mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf dunia berikutan keunikan alam semula jadi yang dimilikinya.
Katanya, antara tarikan utama ialah keindahan flora dan fauna di sepanjang Sungai Linggi serta habitat hidupan liar termasuk buaya, ular dan pelbagai spesies burung.
“Rata-rata pelancong asing yang datang ke sini amat berpuas hati dan memberikan penarafan lima bintang,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Ashaari Ismail, 36, berkata, kawasan sekitar Jeti Paya Lebar turut menjadi tumpuan kaki pancing untuk aktiviti memancing ikan dan udang galah.

Menurutnya, pengunjung bukan sahaja datang dari Melaka, malah dari negeri-negeri jiran.
“Jadi, usaha kerajaan negeri untuk terus membangunkan Paya Lebar sebagai destinasi ekopelancongan memang kena pada tempatnya,” katanya.
Seorang peniaga, Saadiah Hashim, 62, pula berkata, pembangunan sektor ekopelancongan di Paya Lebar telah membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan.

“Peniaga dapat memperkenalkan produk-produk masyarakat kampung untuk dijual kepada pelancong asing yang berkunjung ke Paya Lebar,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Azmi Ramli, 36, berkata, usaha pembangunan kawasan berkenaan perlu diteruskan bagi memastikan projek ekopelancongan Paya Lebar dapat direalisasikan sepenuhnya.

“Kepimpinan Datuk Seri Ab Rauf perlu diteruskan andai rakyat mahu melihat pembangunan pelancongan di Paya Lebar diteruskan,” katanya. – MalaysiaGazette
















