Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek ketika mendengar pengumuman pencapaian Malaysia dalam Programme for International Student Assessment (PISA) 2025 di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 08 SEPTEMBER 2026.

PUTRAJAYA – Malaysia mencatat satu pencapaian penting dari aspek ekuiti pendidikan apabila hanya kira-kira 17 peratus variasi prestasi murid berlaku antara sekolah berbeza, menurut Pengarah Pendidikan dan Kemahiran OECD, Dr Andreas Schleicher.

Beliau berkata, angka itu jauh lebih rendah berbanding purata antarabangsa dan menunjukkan latar belakang serta lokasi sekolah tidak terlalu menentukan pencapaian akademik murid di Malaysia berbanding banyak sistem pendidikan lain.

Menurutnya, pencapaian tersebut merupakan antara kekuatan terbesar yang terserlah melalui keputusan Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025.

“Malaysia telah melangkah lebih jauh daripada kebanyakan negara dalam memutuskan rantaian tersebut.

“Di Malaysia, sekolah yang paling dekat selalunya merupakan sekolah yang terbaik dan jurang perbezaan antara sekolah di kawasan berkemampuan dengan sekolah di kawasan kurang berkemampuan sebenarnya lebih kecil berbanding sistem pendidikan lain,” katanya ketika mengumumkan PISA 2025 Malaysia menerusi satu sidang video yang ditayang serentak di seluruh dunia dari Paris.

Schleicher berkata, dalam sesetengah sistem pendidikan, keluarga terpaksa menghabiskan masa, tenaga dan wang untuk memastikan anak mereka mendapat tempat di sekolah yang dianggap terbaik.

Beliau berkata, ini kerana lokasi kediaman, sekolah dan rakan sebaya boleh memberi kesan besar kepada masa depan pendidikan.

Namun, katanya, dapatan PISA menunjukkan Malaysia mempunyai tahap kesamarataan peluang pembelajaran yang lebih baik sambil menyifatkan kedudukan Malaysia sebagai positif dan setanding dengan negara berprestasi tinggi seperti Singapura.

“Ini pencapaian yang penting kerana kecemerlangan dan ekuiti tidak sepatutnya bersaing antara satu sama lain.

“Sistem pendidikan yang benar-benar berjaya tidak memaksa murid memilih antara kedua-duanya; ia menaikkan siling pencapaian sambil mengangkat lantai asasnya,” katanya.

Menurut Schleicher, Malaysia tidak perlu mencipta semula keseluruhan sistem pendidikan dari awal kerana negara sudah mempunyai asas kukuh dari segi pengagihan peluang pendidikan.

Sebaliknya, kata Scheicher, kekuatan itu perlu dipertahankan sambil usaha meningkatkan pencapaian akademik, khususnya matematik.

“Malaysia perlu memastikan kelebihan dari segi ekuiti pendidikan terus berjalan seiring dengan usaha meningkatkan tahap kecemerlangan,” katanya.

Katanya, cabaran utama adalah menghubungkan kekuatan sedia ada seperti rasa ingin tahu, sokongan guru dan kesamarataan peluang dengan pembelajaran yang lebih mendalam.

“Malaysia hanya perlu membina di atas asas-asas kukuh yang sedia ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here