KUALA LUMPUR – Eksport Malaysia melonjak 29.2 peratus kepada RM1.165 trilion bagi tempoh tujuh bulan pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencerminkan daya tahan sektor perdagangan negara dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata, jumlah perdagangan negara dalam tempoh berkenaan meningkat 24.7 peratus kepada RM2.160 trilion.
Lebihan dagangan pula melonjak lebih dua kali ganda kepada RM170.50 bilion, manakala rekod lebihan dagangan bulanan berturut-turut Malaysia kini mencecah 75 bulan sejak Mei 2020.
Menurut MATRADE, prestasi itu didorong terutamanya sektor barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang menyumbang RM563.65 bilion atau 48.4 peratus daripada keseluruhan eksport.
Ia disokong permintaan global yang kukuh terhadap semikonduktor, infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pusat data.
Pasaran utama seperti ASEAN menyumbang RM315.67 bilion, meningkat 20.3 peratus, diikuti Amerika Syarikat RM206.59 bilion (+58.3 peratus), China RM127.87 bilion (+24.3 peratus), Kesatuan Eropah RM90.73 bilion (+29.8 peratus) dan Taiwan RM80.81 bilion (+71.4 peratus).
Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya komited memastikan setiap peluang perdagangan diterjemahkan kepada hasil komersial yang nyata kepada perniagaan tempatan.
Katanya, kejayaan Misi Akselerasi Eksport (EAM) ke Kemboja baru-baru ini yang menjana jualan RM186 juta, melebihi sasaran RM100 juta, membuktikan keberkesanan pendekatan bersasar dan risikan pasaran yang tepat.
“Tanggungjawab kami bukan sekadar meraikan angka perdagangan, tetapi memastikan mandat organisasi diterjemahkan kepada akses pasaran yang berkesan.
“Kejayaan Misi Akselerasi Eksport ke Kemboja yang menjana jualan RM186 juta melebihi sasaran KPI RM100 juta membuktikan bahawa pendekatan bersasar, risikan pasaran yang tepat dan sokongan berterusan mampu membina daya tahan pengeksport kita di peringkat antarabangsa,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MATRADE hari ini.
Misi EAM Kemboja yang berlangsung dari 18 hingga 21 Ogos lalu melibatkan 26 syarikat Malaysia dan menghasilkan 260 sesi padanan perniagaan ke perniagaan (B2B) serta 130 pertanyaan perdagangan.
Misi itu turut memperkukuh kehadiran produk tempatan menerusi pelancaran Pavilion Malaysia dan Halal Corner di platform e-dagang Kemboja, BallangKmall.com.
Dalam perkembangan berkaitan, MATRADE mengalu-alukan pelantikan Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok, sebagai Ahli Lembaga Pengarah MATRADE yang baharu.
MATRADE berkata, pengalaman luas beliau dalam sektor pembuatan dijangka memperkukuh integrasi sektor awam dan swasta, khususnya dalam membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menangani halangan teknikal, mematuhi piawaian global serta memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
Pada masa sama, MATRADE terus memperkemas inisiatif kebolehcapaian pasaran menerusi Malaysia-China Gateway Initiative (MCGi) bagi memudah cara pematuhan kawal selia ke China.
MATRADE turut mempergiat persiapan bagi penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 26 September ini.
MATRADE menegaskan komitmennya untuk terus berperanan bukan sahaja sebagai pempromosi perdagangan, malah sebagai rakan strategik dalam risikan pasaran dan mempercepatkan lonjakan eksport demi menyokong pertumbuhan ekonomi negara. – MalaysiaGazette















