JDT menewaskan UM-Damansara United 10-0 pada aksi kedua pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.- Foto ihsan Johor Southern Tigers.

JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) tanpa belas kasihan ‘membelasah’ UM-Damansara United 10-0 pada aksi kedua pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Keputusan tersebut memberi peluang kepada Harimau Selatan itu mara ke suku akhir Piala FA dengan agregat 14-1.

Pesta gol juara bertahan itu bermula seawal minit kelima setelah hantaran silang Manuel Hidalgo dari sayap kiri ke dalam kotak penalti disambut Eddy Israfilov yang menanduk bola menewaskan penjaga gol, Azfar Arif Mohd Sukri.

Stuart Wilkin hampir menambah jaringan JDT pada minit ke-12, namun rembatan kencang yang dilepaskan dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan Azfar Arif dan memberikan sepakan penjuru kepada pasukan tuan rumah.

Skuad kendalian Xisco Munoz itu hampir menggandakan jaringan menerusi percubaan Stoichkov namun pemain tengah itu mensia-siakan peluang keemasan di dalam kotak penalti pasa minit ke-15.

Pemain Sepanyol itu berjaya menebus kekecewaan apabila merobek gawang UM-Damansara setelah memanfaatkan umpanan Wilkin dengan baik sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan penjaga gol lawan pada minit ke-22.

10 minit kemudian, Wilkin menambah derita buat pasukan kendalian Asri Ninggal setelah menerima hantaran Nacho Mendez untuk melakukan rembatan deras melencong ke penjuru pintu gol lawan pada minit ke-32.

Bersambung babak kedua, JDT yang tidak mengendurkan serangan berjaya menambah jaringan seawal minit ke-48 setelah Stoichkov berada di posisi yang tepat untuk merembat bola dari jarak dekat menerjah gawang UM Damansara.

Pemain muda, Daniesh Amirruddin yang dibawa masuk pada babak kedua turut berjaya mencetak nama dalam senarai penjaring apabila bijak melepasi kawalan pemain pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan lerek mengatasi Azfar Arif pada minit ke-57.

Pada minit ke-75, Wilkin menjaringkan gol kedua peribadinya pada perlawanan itu setelah menerima umpanan Mendez sebelum membuat sepakan lencong dari luar kotak penalti.

Dua minit berselang, pemain gantian, Shahab Zahedi menambah derita buat pasukan pelawat apabila menjaringkan gol hasil rembatan dari jarak kira-kira 30 meter menewaskan Azfar Arif pada minit ke-77.

UM-Damansara terus dihukum penyandang juara apabila JDT menjaringkan gol kelapan perlawanan apabila Israfiloz menjaringkan gol kedua peribadinya hasil rembatan dari jarak jauh pada minit ke-80.

Pada perlawanan itu, Daniesh yang merupakan pemain JDT turut menjaringkan gol kedua peribadinya selepas menanduk masuk hantaran silang Hidalgo pada minit ke-86.

Zahedi melengkapkan malam gemilang JDT apabila menjaringkan gol ke-10 perlawanan apabila Zahedi menanduk bola menewaskan Azfar Arif buat kali ke-10 pada perlawanan itu.

JDT akan bertemu pemenang antara Penang FC atau Melaka FC pada pusingan suku akhir.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here