KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menegaskan pendiriannya untuk terus mempertahankan agenda reformasi, kedaulatan undang-undang serta perjuangan membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
Ini termasuk memastikan individu yang telah disabitkan kesalahan menjalani sepenuhnya hukuman yang ditetapkan mahkamah.
Majlis Setiausaha PH dalam kenyataan lewat malam tadi berkata, gabungan itu memberi dukungan penuh terhadap usaha Kerajaan Madani dalam memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.
Menurutnya, PH turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya setiap kes berkaitan disiasat secara menyeluruh tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
“PH sebagai sebuah gabungan politik yang sejak awal membawa perjuangan reformasi institusi, tatakelola yang baik dan penolakan terhadap rasuah serta penyalahgunaan kuasa berpendirian mana-mana individu disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa terutama melibatkan kes-kes berprofil tinggi perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah,” menurut kenyataan itu.
PH turut menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang menuntut supaya proses kehakiman yang sedang berjalan diberikan ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa proses tersebut telah didahului oleh pertimbangan lain.
Menurut gabungan itu, perkara berkenaan penting bagi Malaysia yang berada dalam fasa pemulihan untuk memperkukuh tatakelola dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
PH berkata, sebarang keputusan dalam kes berprofil tinggi perlu mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan negara melaksanakan agenda tersebut.
Dalam pada itu, PH mengingatkan beberapa kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini turut memberi kesan besar terhadap nama dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Momentum pemulihan ini perlu terus dipelihara,” menurut kenyataan itu.
PH berkata, gabungan tersebut dibina atas dukungan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang meletakkan harapan besar terhadap agenda reformasi serta pembentukan sebuah negara yang bersih, berintegriti dan bertanggungjawab.
Amanah tersebut, menurut PH, menuntut gabungan itu untuk terus konsisten menyuarakan pendirian berdasarkan prinsip walaupun berdepan situasi mencabar dan tekanan dari pelbagai sudut.
PH mengulangi pendirian untuk terus menjunjung Perlembagaan, menghormati institusi negara serta kekal teguh mempertahankan prinsip reformasi, kedaulatan undang-undang dan perjuangan membanteras rasuah.
Dalam perkembangan berkaitan, perhatian ketika ini turut tertumpu kepada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dijangka berlangsung Jumaat ini.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah dipercayai antara perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat berkenaan.
Bagaimanapun, kenyataan Majlis Setiausaha PH itu tidak menyebut nama Najib, tahanan rumah atau Lembaga Pengampunan. – MalaysiaGazette















