Ketua Menteri Melaka yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melambai ketika nama beliau dipanggil pada Perasmian Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di WTC, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR –  UMNO perlu memperkukuh kekuatan dalaman dan berdiri atas kaki sendiri sebelum menentukan bentuk kerjasama dengan mana-mana rakan strategik dalam menghadapi perkembangan politik akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu antara cabaran yang disampaikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapannya mengenai hala tuju dan masa depan parti.

Menurut beliau, UMNO perlu menilai kekuatan sendiri bagi memastikan parti itu lebih kuat, ampuh dan berintegriti untuk berdepan apa juga cabaran politik.

“Saya amat meneliti ucapan Timbalan Presiden tentang hala tuju dan masa depan UMNO dalam membentuk kekuatan parti supaya kita lebih kuat, lebih ampuh dan lebih berintegriti.

“Ini persoalan yang dibangkitkan Timbalan Presiden supaya kita menilai diri sendiri bagi menempuh apa juga halangan dalam politik. UMNO kena pergi atas kaki sendiri,” katanya.

Beliau bekata demikian ketika ditemui media selepas ucapan Mohamad pada Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2026 di Dewan Merdeka di sini malam ini.

Ab Rauf berkata, UMNO juga perlu mendapatkan semula kepercayaan rakyat dengan kekuatan dan kemampuan parti sendiri.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemungkinan untuk menjadikan mana-mana parti sebagai rakan strategik UMNO boleh dipertimbangkan apabila tiba masanya.

“Rakan-rakan strategik ini boleh dipertimbangkan nanti untuk menjadi rakan strategik kepada parti UMNO. Bagaimanakah kita fokuskan dalam politik ini, itu nanti kita akan tengok.

“Apabila tiba waktu dan ketikanya, kita boleh perhalusi apakah bentuk kesepakatan yang boleh kita lakukan, sesuai dengan apa yang telah berlaku di Johor dan Negeri Sembilan,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengalu-alukan rundingan selepas Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here