KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi difahamkan sedang bertemu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Pertemuan itu berlangsung pada kira-kira jam 4 petang tadi, sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2026) yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pertemuan itu susulan kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini yang memaklumkan beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Ismail berhubung dakwaan berkenaan.
Ahmad Zahid sebelum ini berkata, beliau mahu mengetahui latar belakang kenyataan Ismail yang mendakwa terpaksa menandatangani dokumen berkenaan.
“Dia pastinya akan bertemu dengan saya ketika PAU2026 ini diadakan dan penjelasan akan dibuat oleh beliau dan saya akan bertanya latar belakang mengenai kenyataan beliau,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau sebelum ini tidak jelas mengenai perkara berkenaan kerana tidak berada dalam majlis ketika dokumen itu ditandatangani.
“Saya tidak jelas mengenai perkara itu sebab saya tidak berada dalam majlis ataupun ketika penandatangan itu dilakukan,” katanya.
Beliau turut menyerahkan kepada pihak yang terlibat secara langsung dalam penyediaan, penyaksian dan penyimpanan dokumen berkenaan untuk memberikan penjelasan.
“Jadi saya telah menyatakan semalam bahawa kita serahkan kepada peguam yang menyediakan dokumen berkenaan dan yang menyaksikan serta menyimpan dokumen itu untuk membuat kenyataan,” katanya.
Sebelum ini, Ismail mendakwa beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Ismail berkata, beliau telah menandatangani dokumen itu tanpa rela hati dan secara paksaan (duress), selain membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang kelmarin, bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Sembilan berpendirian bahawa Surat Cara berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. – MalaysiaGazette
















