KUALA LUMPUR – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) perlu bertindak tegas bagi menghentikan tindakan kejam rejim Zionis Israel mengusir rakyat Palestin secara paksa dari Semenanjung Gaza.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pihak antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap tindakan Israel yang turut melibatkan pencerobohan pendatang haram serta perampasan tanah di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
“Kezaliman dan perampasan tanah secara sistematik ini merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa yang wajar ditolak tanpa sebarang kompromi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sikap berdiam diri dan berpeluk tubuh sesetengah pihak di peringkat antarabangsa terhadap nasib rakyat Palestin menunjukkan hipokrasi terhadap prinsip keadilan.
“Justeru, UNSC didesak mengambil tindakan tegas untuk menghentikan kebiadaban ini, selanjutnya membawa penjenayah perang ke muka pengadilan, dan melindungi nyawa warga Palestin,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli menegaskan, JPM (Hal Ehwal Agama) akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk kekal di tanah air mereka serta tuntutan penubuhan negara Palestin yang merdeka.
“JPM (Hal Ehwal Agama) kekal utuh menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk kekal di tanah air mereka serta menuntut penubuhan negara Palestin yang merdeka.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kemenangan dan kebebasan hakiki buat Palestin,” katanya.-MalaysiaGazette
















