Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menitiskan air mata ketika mengenang lapan tahun mengemudi parti keramat itu yang disifatkannya penuh dengan mehnah dan tribulasi.

Ahmad Zahid berkata, sepanjang tempoh itu, UMNO melalui pelbagai jatuh bangun termasuk luka yang mengguris hati, namun setiap ujian yang dilalui menjadikan perjuangan parti lebih matang dan tabah.

“Lapan tahun. Ada jatuh. Ada bangun. Ada luka yang mengguris hati. Namun setiap luka mendewasakan, setiap ujian mematangkan dan setiap cabaran mengajar erti ketabahan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Beliau berkata, biar pun berdepan pelbagai cabaran, bahtera UMNO masih belayar dengan panji parti terus berkibar dan ahlinya kekal tegar untuk membelah samudera perjuangan menuju Putrajaya.

Katanya, perjuangan itu bukan didorong kemaruk kuasa, ghanimah atau harta sebaliknya demi sebuah cita-cita menerusi Agenda Malaysia Biru agar rakyat dan negara memperoleh kesejahteraan.

“Namun, lautan mana yang tidak bergelora. Badai ribut pasti melanda. Pesan saya, bersabarlah. Jangan kita mudah menyerah, jangan sesekali berubah arah dan jangan ada lagi yang berpaling tadah.

“Selagi kita istiqamah melangkah, selagi kita setia memegang amanah, yakinlah pasti sampai pertolongan Allah,” katanya.

Dalam nada penuh emosi, Ahmad Zahid turut memanjatkan doa agar perjuangan UMNO dipelihara, saf parti dirapatkan serta diberikan persefahaman yang diredai Allah.

Beliau turut berdoa agar kemenangan dikurniakan sekiranya ia baik untuk agama, bangsa dan tanah air sebagai wasilah untuk UMNO terus berbakti.

“Jika kami sedang diuji, Kau kuatkanlah hati kami. Jika kami dihadapkan dengan manusia yang pelbagai wajah, bukakanlah hijab agar kami kenal dan lebih berhati-hati.

“Peliharalah perjuangan kami. Satukanlah hati-hati kami. Rapatkanlah saf kami. Bawalah rakan-rakan yang jujur dan ikhlas dan tidak tidak mengkhianati kami. Ilhamkanlah kepada kami persefahaman yang Engkau redhai,” katanya dengan nada sebak.

Mengakhiri ucapannya, Ahmad Zahid menyeru seluruh anggota UMNO supaya bangkit dan bersiap menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 yang disifatkannya sebagai ‘ibu segala pertempuran’.

“Setelah segala ikhtiar diusahakan, setelah segala doa dipanjatkan, setelah barisan dirapatkan, dari Dewan Merdeka ini… bangkitlah, bangkitlah.

“Bersiaplah kita untuk mara ke medan pertempuran. Berbekalkan kebersamaan serta keikhlasan, bersama rakan-rakan satu persefahaman.

“PRU-16 pasti tiba yang akan menjadi ibu segala pertempuran. Bersiaplah untuk terus bermujahadah,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, PRU-16 merupakan detik penting untuk meletakkan semula UMNO sebagai wadah keramat orang Melayu di puncak maruah dan kembali ke puncak daulah.

“Hidup UMNO! Allahu Akbar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here