KUALA LUMPUR – Bekas Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah pertama AI Malaysia Berhad.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pelantikan itu menunjukkan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh asas institusi bagi memacu agenda kecerdasan buatan (AI) negara.
Menurutnya, pelantikan berkenaan menyusul selepas pelancaran agensi itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Julai lalu.
“Sebagai agensi peneraju Kementerian Digital, AI Malaysia menyelaraskan agenda AI kebangsaan, mempromosikan penerapan AI yang selamat dan bertanggungjawab serta memacu Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 bagi mencapai Negara AI 2030.
“Lembaga Pengarah ini menghimpunkan barisan pemimpin daripada sektor awam dan swasta dengan pengalaman merangkumi transformasi negara dan dasar awam, pembangunan ekonomi digital, pelaburan serta inovasi AI,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, penubuhan AI Malaysia menyediakan sebuah institusi khusus untuk menerajui dan menyelaras agenda berkenaan.
“Pelantikan Lembaga Pengarah ini memperkukuh keupayaan institusi dan tadbir urus AI Malaysia dalam melaksanakan mandat nasionalnya.
“Ia sekali gus memacu agenda AI negara daripada strategi kepada pelaksanaan yang terselaras dan berimpak, berteraskan akauntabiliti serta kepentingan negara untuk jangka panjang,” katanya.
Aireen yang kini berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tune Protect Group Berhad dan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam transformasi perniagaan, teknologi dan pertumbuhan serantau.
Selain Aireen, turut dilantik sebagai Pengarah AI Malaysia Berhad ialah Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital) Kementerian Digital, M. Ma Sivanesan.
Turut menyertai barisan kepimpinan itu ialah Ketua Pegawai Teknologi Digital Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Muhammad Afhzal Abdul Rahman serta Pengerusi Trendcell Sdn Bhd merangkap Pengarah MyTeksi Sdn Bhd, Foo Yen Ling Adelene. – MalaysiaGazette
















