KUALA LUMPUR – Sebarang rundingan antara UMNO atau Barisan Nasional (BN) dengan parti lain pada masa depan perlu dimaktubkan dan ‘diakadkan’ bagi memastikan persetujuan yang dicapai dihormati serta tidak membuka ruang kepada pengkhianatan, tegas Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.
Beliau berkata, pengalaman lalu menunjukkan persetujuan politik yang dibuat melalui rundingan masih boleh berubah apabila keadaan politik berubah.
“Janji macam mana pun, macam Datuk Presiden sebutkan tadi, dah janji Kerajaan Perpaduan tapi yang jadinya Madani.
“Dah disebut begini begitu, yang jadinya lain. Itu realiti. Tetapi setidak-tidaknya UMNO ada penilaian, kekuatan dan kejantanannya,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Fathul Bari berkata, konsep ‘tafahum siasah’ (persefahaman dalam politik) perlu menjadi asas dalam rundingan, dengan setiap pihak memahami pendirian dan kepentingan masing-masing sebelum sesuatu persetujuan dicapai.
Menurutnya, politik sememangnya memerlukan toleransi dan keanjalan, namun ia tidak bermakna UMNO perlu mengorbankan hak serta maruah demi mendapatkan kuasa.
Beliau turut membawa pengajaran daripada Perang Khandak apabila Rasulullah SAW tidak terus membuat keputusan terhadap tawaran Bani Ghatafan, sebaliknya membawanya untuk dibincangkan bersama Sa’ad bin Muaz dan Sa’ad bin Ubadah.
Katanya, tindakan itu menunjukkan kepentingan rundingan sebelum sesuatu keputusan dibuat, terutama apabila membabitkan hak dan kepentingan umat.
Fathul Bari turut merujuk peristiwa Siffin yang membawa kepada proses tahkim (rundingan) sebagai contoh bahawa jalan perundingan tetap diperlukan walaupun ketika berlaku perpecahan besar.
Mengaitkan prinsip itu dengan politik semasa, beliau membangkitkan perkembangan di Perlis yang menurutnya menimbulkan persoalan mengenai kedudukan sebenar parti yang menerajui kerajaan negeri.
Katanya, selepas Pas dijatuhkan dan Bersatu mengambil alih kepimpinan, berlaku perubahan sokongan dalam Bersatu apabila ahli dan cawangan di Kangar, Padang Besar dan Arau didakwa keluar parti serta menyertai Parti Wawasan.
“Jadi sekarang ini negeri Perlis dipimpin oleh parti mana?” soalnya.
Beliau turut membangkitkan kedudukan lima wakil rakyat Bersatu di Perlis, termasuk pelantikan seorang daripadanya sebagai Pengerusi Perhubungan.
Dalam pada itu, Fathul Bari menyentuh pendirian Pesuruhjaya Pas Perlis yang tidak menerima ahli atau ADUN Bersatu yang melompat menyertai Parti Wawasan.
Beliau berkata, UMNO Perlis perlu terus memperkukuh gerak kerja parti dan menjaga maruah dalam menghadapi perkembangan politik berkenaan.
Dalam ucapan sama, Fathul Bari turut menegaskan bahawa sebarang siasatan terhadap individu perlu dilakukan secara adil dan tidak menggunakan organisasi untuk kepentingan tertentu.
“Nak hukum pesalah, nak buat siasatan, silakan tetapi kena adil. Kita tiada masalah. Tetapi jangan sesekali guna organisasi,” ujarnya.
Beliau berharap apabila agenda Malaysia Biru tercapai kelak, UMNO tidak mengulangi perkara yang didakwa dilakukan terhadap parti itu ketika ini.
“Jadi, saya mengharapkan apabila agenda Malaysia Biru tercapai nanti, kita tidak akan melakukan perkara sama seperti mereka buat terhadap kita hari ini,” katanya.
Fathul Bari berkata, pengalaman kerjasama politik terdahulu perlu menjadi pengajaran kepada UMNO supaya setiap rundingan selepas ini dibuat dengan persefahaman yang jelas, persetujuan yang kukuh serta komitmen yang dihormati semua pihak. -MalaysiaGazette
















