Orang ramai melawat reruai yang diadakan ketika tinjauan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bukan sahaja menjadi medan persidangan politik, malah turut membuka peluang kepada peniaga untuk meningkatkan jualan dan memperkenalkan produk kepada pengunjung.

Rakan kongsi Side Houz, Abdul Rahman Abdul Wahab, 40, berkata, penyertaannya dalam PAU untuk tahun ketiga berturut-turut banyak membantu memperkenalkan jenama berkenaan kepada pelanggan yang sebelum ini tidak mengenalinya.

Peniaga, Abdul Rahman Abdul Wahab ketika ditemubual pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2026.

“Untuk nama kita yang belum dikenali, PAU sangat membantu untuk kita bawa nama Side Houz,” katanya ketika ditemui pada tinjauan reruai sekitar PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Menurutnya, sambutan pengunjung terhadap jualan kopi, kek dan menu harian yang dibawa ke reruai berkenaan semakin meningkat sejak mula berniaga pada Selasa lalu.

Antara pelanggan yang hadir untuk membeli minuman ketika tinjauan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2026.

Katanya, pelanggan yang sudah mengenali Side Houz sejak penyertaan tahun lalu turut kembali mendapatkan produk mereka pada PAU kali ini.

Sementara itu, rakan kongsi Rosan Partners Enterprise, Muhammad Azhan Rosli, 62, berkata, PAU banyak membantu perniagaannya yang menjual pakaian bercorak logo UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Peniaga, Azhan Roslin ketika ditemubual pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2026.

“Inilah salah satu cara yang saya cukup bangga daripada parti UMNO, di mana mereka menyediakan ruang bagi orang-orang Melayu untuk berniaga.

“Di sinilah juga ruang untuk menempatkan perwakilan-perwakilan yang ramai. Jadi di situlah rezeki yang dilimpahkan Allah untuk kita, orang UMNO yang berniaga,” katanya.

Pelanggan memeriksa pakaian yang dijual ketika tinjauan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2026.

Azhan berkata, beliau sudah menyertai PAU sejak awal penganjuran dan akan terus menyokong usaha menyediakan ruang kepada peniaga sekiranya diberi peluang pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Keff&Nish, Meor Amirul, 24, berkata penyertaan kali pertama dalam PAU memberi peluang kepada jenama minyak wanginya meningkatkan jualan selain memperluaskan pendedahan kepada pelanggan baharu.

Peniaga, Meor Amirul ketika ditemubual pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2026.

“Bagi saya, sedikit sebanyak membantu. Mungkin kalau bukan dari segi jualan, ia membantu dari segi pendedahan jenama, supaya orang kenal jenama kita,” katanya.

Menurutnya, sambutan pengunjung amat positif apabila ramai yang datang ke reruai walaupun tidak membeli, namun sekurang-kurangnya mengetahui kewujudan jenama berkenaan.

Peniaga melayani pelanggan yang melawat reruai ketika tinjauan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 SEPTEMBER 2026.

Beliau berkata, pihaknya berharap dapat terus menyertai PAU pada masa akan datang kerana mendapati tidak banyak reruai minyak wangi di sekitar acara berkenaan. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here