KUALA LUMPUR – Tiga perkara iaitu guru, subsidi petrol dan ‘keputusan peperiksaan’ dijadikan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairuddin untuk membidas kenyataan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Danish mempersoalkan kenyataan Ahmad Zahid yang mendakwa UMNO mampu melakukan lebih baik, sambil mengingatkan beliau supaya tidak melupakan rekod pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Zahid kata, ‘Guru, cukup-cukuplah guru.’ Kemudian beliau mendabik dada kononnya UMNO boleh buat lebih baik.
“Buat lebih baik apa?” soalnya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Danish, ketika era UMNO dan BN, kerajaan terpaksa menanggung pembayaran sekitar RM42 bilion bagi hutang dan komitmen 1MDB.
Katanya, RCI pula mendapati Tabung Haji bagi 2017 sepatutnya mencatat kerugian RM1.4 bilion, bukannya keuntungan RM3.4 bilion.
“Manakala FELDA pula merekodkan kerugian RM4.9 bilion serta liabiliti RM14.4 bilion pada 2017.
“1MDB, Tabung Haji dan FELDA, tiga nama besar, tiga rekod yang sepatutnya cukup untuk UMNO berhenti mendabik dada kononnya mereka boleh buat lebih baik.
“Jangan baru buka buku hari ini, sudah lupa keputusan peperiksaan semalam,” tegasnya.
Danish pada masa sama mempersoalkan pendirian Ahmad Zahid berhubung keputusan kerajaan mengenai subsidi petrol, terutama apabila beliau sendiri merupakan anggota Kabinet dan memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Katanya, keputusan mengenai subsidi petrol adalah keputusan kerajaan dan bukan keputusan seorang individu.
“Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan pula jelas bahawa Jemaah Menteri bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen. Itulah prinsip tanggungjawab kolektif Kabinet,” katanya lagi.
Danish berkata, jika Ahmad Zahid tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan, beliau sepatutnya membantahnya dalam Kabinet, bukannya bercakap selepas keputusan dibuat seolah-olah tidak mempunyai tanggungjawab terhadapnya.
“Kalau tidak bersetuju, bantah dan lawan dalam Kabinet. Namun apabila keputusan sudah dibuat, seorang Timbalan Perdana Menteri tidak boleh naik ke pentas dan bercakap seolah-olah beliau sekadar penonton.
“Duduk semeja ketika keputusan dibuat, tetapi bila keputusan susah dijual kepada penyokong, mula cuci tangan. Mana tanggungjawab kolektif sebagai seorang TPM?” soalnya.
Mengulas kenyataan Ahmad Zahid bahawa guru perlu belajar mendengar, Danish mencadangkan supaya Ahmad Zahid belajar satu perkara daripada guru, iaitu tanggungjawab dalam kerja berkumpulan.
“Kalau buat kerja berkumpulan, semua ahli kumpulan kena bertanggungjawab. Jangan bila markah rendah, salahkan ketua kumpulan seorang,” katanya.
Danish menegaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri bukan sekadar soal berkongsi kuasa, sebaliknya datang bersama tanggungjawab untuk mempertahankan keputusan kerajaan yang dibuat secara kolektif.
“Jika seorang TPM sendiri tidak mampu mempertahankan keputusan kerajaan yang beliau anggotai, pilihannya mudah. Pertahankan tanggungjawab kolektif atau letak jawatan,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Cukup-cukuplah, guru! Jangan butakan mata, tuli telinga – Zahid
















