Gambar hiasan

Oleh Dr. Sharmila Thinagar

“BILA nak kahwin?”
Soalan ini mungkin kedengaran biasa dalam keluarga Malaysia. Namun, bagi semakin ramai anak muda, soalan itu mungkin tidak semudah yang disangka. Di sebalik jawapan seperti “belum sampai masa” atau “belum jumpa orang yang sesuai”, ada satu persoalan yang lebih besar: adakah mereka benar-benar tidak mahu berkahwin, atau mereka belum yakin mampu
membina sebuah keluarga?

Perkahwinan sememangnya keputusan peribadi. Namun dalam keadaan ekonomi hari ini, keputusan untuk berkahwin semakin sukar dipisahkan daripada realiti kewangan. Harga rumah, kos makanan, pengangkutan, pendidikan, komitmen hutang dan perbelanjaan harian semuanya perlu dipertimbangkan.

Selepas berkahwin pula, tanggungjawab tidak berhenti kepada pasangan. Kehadiran anak membawa komitmen kewangan yang lebih panjang, termasuk kos penjagaan, pendidikan dan kesihatan. Maka, persoalannya bukan lagi sekadar “mahu kahwin atau tidak?”, tetapi “mampukah saya membina kehidupan yang stabil selepas berkahwin?”

Bagi golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan, mendapatkan pekerjaan sahaja mungkin belum mencukupi untuk memberikan keyakinan membina keluarga. Mereka mungkin mempunyai pendapatan tetap, tetapi pada masa yang sama berdepan sewa atau ansuran rumah, pinjaman pendidikan, pinjaman kenderaan dan kos kehidupan yang semakin meningkat.

Dalam keadaan ini, menangguhkan perkahwinan mungkin dilihat sebagai pilihan yang lebih rasional. Mereka mahu mempunyai simpanan kecemasan terlebih dahulu. Mereka mahu pekerjaan yang lebih stabil. Mereka mahu memiliki rumah atau sekurang-kurangnya tempat tinggal yang selesa. Mereka juga mahu memastikan sekiranya mempunyai anak, mereka mampu memberikan kehidupan yang baik kepada anak-anak.

Ini tidak semestinya bermaksud generasi muda hari ini tidak menghargai perkahwinan atau keluarga. Mungkin mereka semakin berhati-hati dalam membuat keputusan besar dalam kehidupan. Dari perspektif ekonomi, setiap keputusan mempunyai opportunity cost atau kos peluang. Apabila seseorang memilih untuk berkahwin dan mempunyai anak, terdapat
komitmen kewangan, masa dan peluang kerjaya yang perlu dipertimbangkan.

Bagi wanita khususnya, keputusan mempunyai anak juga boleh berkait dengan kerjaya. Tempoh keluar daripada pasaran buruh, kos penjagaan anak dan kesukaran mengimbangi pekerjaan dengan tanggungjawab keluarga boleh mempengaruhi keputusan untuk mempunyai anak.

Sebab itu, isu kelewatan berkahwin dan mempunyai anak tidak wajar dilihat hanya sebagai perubahan sikap atau nilai generasi muda. Ia juga perlu dilihat melalui lensa ekonomi dan keadaan sosial yang mereka hadapi. Persoalan ini penting kerana keputusan individu akhirnya memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhan.

Jika semakin ramai menangguhkan perkahwinan dan pembentukan keluarga, kesannya boleh dirasai dalam jangka panjang melalui perubahan struktur penduduk, kadar kelahiran, saiz tenaga kerja dan keperluan perlindungan sosial. Justeru, jika kita mahu lebih ramai anak muda yakin untuk membina keluarga, kita tidak boleh hanya meminta mereka “berkahwin awal”.

Kita juga perlu bertanya: adakah persekitaran ekonomi kita membantu mereka untuk berbuat demikian? Pekerjaan yang stabil, gaji yang munasabah, perumahan mampu milik, kemudahan penjagaan anak dan sokongan kepada ibu bapa bekerja semuanya memainkan peranan. Membina keluarga tidak sepatutnya menjadi satu pilihan yang hanya mampu dilakukan oleh mereka yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

Pada masa sama, golongan muda juga perlu diberi ruang untuk membuat keputusan berdasarkan keadaan dan kemampuan masing-masing. Perkahwinan bukan perlumbaan dan tidak mempunyai satu usia “paling tepat” yang sesuai untuk semua orang.

Mungkin sudah tiba masanya kita mengubah soalan kepada anak muda. Daripada bertanya, “Bila nak kahwin?”, mungkin kita boleh bertanya, “Apa yang kamu perlukan untuk bersedia membina keluarga?”. Kerana berkahwin mungkin hanyalah sebuah keputusan.

Tetapi membina keluarga ialah komitmen ekonomi, sosial dan emosi untuk bertahun-tahun lamanya. Dan mungkin, bagi sebahagian anak muda hari ini, mereka bukan tidak mahu berkahwin. Mereka cuma mahu memastikan apabila mereka melangkah ke alam perkahwinan, mereka benar-benar mampu untuk membina kehidupan yang mereka impikan.

Penulis merupakan pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here