KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi momen istimewa bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Hasmah Mohd Ali menjelang hari pernikahannya.
Menerusi perkongsian di media sosial miliknya, Syed Saddiq bertemu Dr Mahathir yang ditemani Hasmah menyerahkan sendiri kad jemputan perkahwinannya yang dijadual berlangsung dalam masa terdekat.
“Hantar sendiri kad kahwin kepada Tun M dan Tun Hasmah. Tetamu istimewa paling senior dalam senarai tetapi masih pasangan paling muda di hati,” tulisnya yang segak berbaju Melayu warna ungu.
Sementara itu, tunangnya yang juga pelakon dan penyanyi, Bella Astillah berkata, kehadiran mereka juga untuk mendapatkan nasihat perkahwinan daripada pasangan yang berpengalaman luas dalam melayari kehidupan berumah tangga itu.
“Nak masuk alam perkahwinan, mestilah kena minta petua daripada pasangan paling berpengalaman di Malaysia,” katanya.
Syed Saddiq dan Bella Astillah bakal melangsungkan perkahwinan pada 10 Oktober depan yang dijadual di bangunan kedua tertinggi di dunia iaitu Menara Merdeka Maybank. – MalaysiaGazette

















