Foto: Ihsan JIM

KUALA LUMPUR – Padah menjadi ejen haram, sepasang suami isteri warga Vietnam ditahan selepas dipercayai menawarkan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen kepada warga asing dengan bayaran sehingga RM12,000 bagi setiap individu.

Pasangan berusia 34 tahun itu ditahan menerusi Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kira-kira jam 12.15 tengah malam di sebuah kediaman di Jalan Bemban Ampang, sini, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi hasil maklumat serta risikan selama sebulan itu turut menahan seorang kanak-kanak lelaki warga Vietnam berusia 10 bulan dipercayai anak pasangan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di premis itu, pasukan operasi telah menyita tujuh pasport Vietnam dan lima cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu, sebuah telefon bimbit, satu set komputer meja, salinan perjanjian sewaan premis kediaman dan beberapa borang pengesahan warganegara Vietnam.

“Selain itu, turut disita borang permohonan pasport Vietnam dan sebuah kenderaan jenis Ford Kuga yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati pasangan terbabit menawarkan perkhidmatan berkaitan urusan imigresen khususnya kepada warga Vietnam.

Kata beliau, antara perkhidmatan ditawarkan termasuk menguruskan lanjutan pas, Pas Khas serta tiket penerbangan pulang ke Vietnam bagi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di Depot Imigresen.

“Bayaran yang dikenakan mencecah sehingga RM12,000 bagi setiap individu bergantung kepada jenis urusan dilakukan dan kegiatan mereka dipercayai telah beroperasi sejak tahun lalu” jelasnya.

Foto: Ihsan JIM

Tambah beliau, semakan awal mendapati lelaki warga Vietnam itu telah tinggal lebih masa, manakala isterinya memiliki Pas Pembantu Rumah Asing (PRA).

“Kanak-kanak yang ditemui bersama pasangan tersebut pula didapati tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.

Susulan itu, Zakaria berkata, lelaki berkenaan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Isterinya pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kes turut disiasat berkaitan kedudukan kanak-kanak berkenaan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“JIM sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap penemuan cap pihak berkuasa Vietnam yang disyaki palsu, selain dokumen dan peralatan lain yang disita bagi mengenal pasti modus operandi serta kemungkinan penglibatan individu lain dalam kegiatan tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here