Datuk Seri Azalina Othman Said.

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan beliau tidak mengetahui secara langsung perkembangan berkaitan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, persoalan berhubung keputusan penangguhan serta tarikh baharu berkaitan permohonan itu perlu dirujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

“Saya sebenarnya dapat maklumat pun daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh BHEUU. Saya bukan Menteri bertanggungjawab.

“Walaupun BHEUU di bawah saya, isu Lembaga Pengampunan tiap-tiap negeri, BHEUU adalah sekretariat tetapi Menteri dan Menteri Besar negeri tersebut adalah wakil eksekutif dalam Lembaga Pengampunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), di Tasik Putrahaya, di sini hari ini.

Menurutnya, sebarang pertanyaan mengenai sebab permohonan pengampunan itu ditangguhkan atau tarikh baharu perlu diajukan kepada Hannah.

“Apa-apa soalan, apa berlaku, kenapa ditangguh, tarikh yang baru semua kena tanya Menteri bertanggungjawablah, Hannah Yeoh.

“Saya tak ambil maklum langsung. Jadi saya tak dapat jawablah,” katanya.

Beliau turut berseloroh apabila terus diasak mengenai perkara itu.

“Semua kena tanya YB Hannah. Tak boleh tanya saya. Tak aci, saya cakap nanti tak laku,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan beranggapan penangguhan permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang tidak berlaku secara sendiri.

Beliau berkata, ia melainkan ada arahan atau bantahan daripada mana-mana pihak sama ada ahli-ahli Lembaga Pengampunan atau pihak ketiga lain yang berkepentingan.

Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai perkara terbabit bagi memastikan isu berkepentingan awam itu dapat difahami.

Sebelum ini, media melaporkan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung di Istana Negara pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here