PUTRAJAYA – UMNO Pusat mahupun Kerajaan Persekutuan tidak wajar mencampuri kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan kerana ia merupakan isu di peringkat negeri.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan perlu diberikan ruang serta masa untuk mencari penyelesaian terhadap perkara berkenaan.
“Saya percaya Kerajaan Persekutuan ataupun UMNO Pusat pun tak bolehlah campur dalam isu ini kerana ia isu negeri,” katanya.
Beliau berkata, UMNO Negeri Sembilan, BN negeri serta kerajaan negeri mempunyai peranan masing-masing dan diyakini mampu menyelesaikan perkara itu dengan mengambil kira hubungan antara Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
“Saya sangat yakin kedua-dua entiti ini mampu mencari penyelesaian kepada masalah ini kerana UMNO sendiri sebagai sebuah parti memahami peranan dan hubungan Menteri Besar dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
“Kita kena beri masa dan ruang kepada Perhubungan Negeri Sembilan, UMNO Negeri Sembilan dan juga Exco serta kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian bagi perkara ini,” katanya.
Azalina berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Tasik Putrajaya, hari ini.
Mengulas dakwaan wujud unsur paksaan atau pengaruh tidak wajar dalam isu berkenaan, beliau berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada polis untuk siasatan.
“Saya rasa apabila ada dakwaan duress atau undue influence, terpulang kepada polis untuk menyiasat.
“Kita tidak sepatutnya membuat komen kerana mungkin polis sudah membuka fail. Jadi biarlah polis menyiasat apa maksud duress dan apa maksud undue influence,” katanya.
Sebelum ini, Ismail mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan takhta Tuanku Muhriz.
Azalina pada masa sama menegaskan semua pihak perlu menghormati proses yang sedang dijalankan di peringkat negeri dan tidak membuat kesimpulan sebelum siasatan selesai.
Dalam pada itu, Azalina menegaskan mana-mana perwakilan UMNO perlu lebih berhati-hati ketika menggunakan isu agama sebagai bahan analogi ketika berbahas, meskipun tidak mempunyai niat untuk menghina mana-mana pihak.
Beliau berkata, isu agama merupakan perkara sensitif dan penggunaan analogi yang tidak tepat boleh menyebabkan kenyataan disalah tafsir.
Beliau berkata, perkara itu turut mengejutkan perwakilan yang berada dalam Dewan Merdeka ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 berlangsung baru-baru ini.
“Kami yang dalam dewan itu pun agak terperanjat sebab saya rasa bila kita berbahas, walaupun niat kita nak buat cerita-cerita kelakar atau menghiburkan perwakilan, kalau guna isu agama takut salah interpretasi.
“Saya rasa isu agama satu isu yang sensitif. Jadi sebagai pemimpin, kita wajar berhati-hati,” katanya.
Semalam, Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said berkata, beliau sedia memohon maaf sekiranya ucapan beliau semasa PAU 2026 menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, termasuk penganut agama Kristian.
Noorazli berkata, kisah dikongsikannya dalam ucapan itu digunakan sebagai analogi bagi menekankan pengajaran mengenai kepentingan fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, beliau tidak melihat perwakilan terbabit mempunyai niat jahat atau mahu menghina mana-mana agama, sebaliknya menganggap ia sebagai kesilapan ketika memilih contoh untuk dijadikan analogi.
“Saya tengok cara dia bercakap itu dia tidak ada niat jahat atau nak menghina. Dia hanya nak membuat analogi.
“Tapi mungkin contoh dia dalam isu agama itu salah, salah analogi,” katanya.
Beliau berkata, kepimpinan UMNO juga telah meminta perwakilan terbabit memohon maaf berhubung kenyataannya.
Bagaimanapun, Azalina menyerahkan kepada Perhubungan UMNO Selangor untuk menentukan sebarang tindakan lanjut terhadap wakil berkenaan.
“Bagi saya, saya tengok memang tidak ada niat langsung untuk buat perkara tidak baik. Dia bukan dalam bahasa orang putih, bahasa undang-undang, mala fide.
“Dia hanya menggunakan itu sebagai satu analogi. Mungkin analogi dia itu salah karakter yang dipegang,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak Noorazli memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
Beliau berkata, agama bukan perkara yang boleh dijadikan bahan jenaka mana-mana pihak selain menegaskan kenyataan Noorazli itu tidak menggambarkan pendirian UMNO, sebaliknya pandangan peribadi beliau.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa Noorazli memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian. – MalaysiaGazette
















