KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta membantu mengesan waris atau ahli keluarga seorang lelaki tanpa identiti yang ditemukan tidak bernyawa di ruangan simpan tayar pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, pada 27 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan mengikut prosedur kematian mengejut (SDR) pada 27 Ogos lalu berhubung penemuan mayat lelaki tanpa identiti itu.
“Sehubungan itu, pihak polis sedang berusaha mengesan waris atau ahli keluarga mangsa bagi membantu proses pengecaman serta siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang dilaporkan hilang atau gagal dihubungi sejak 19 Ogos 2026, khususnya dipercayai mempunyai kaitan atau pernah berada di sekitar KLIA diminta untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di talian 03-87768926; Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Ridzuan Mohd Rosli (011-14453057) atau Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Nicholas anak Idel (018-7017291).
Sebelum ini media melaporkan, mayat lelaki itu ditemukan pada pagi 27 Ogos lalu di dalam ruang simpanan tayar sebuah pesawat yang mendarat di KLIA2 selepas penerbangan dari Tokyo, Jepun.
Ia ditemui oleh kakitangan kejuruteraan ketika melakukan pemeriksaan terhadap ruang simpanan tayar selepas terhidu bau busuk.
Ketika ditemukan, mayat terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dianggarkan berusia antara 17 hingga 25 tahun berdasarkan saiz fizikal, selain tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa. – MalaysiaGazette
















