Tangkap layar dari video yang tular.

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedang menyiasat video berdurasi 15 saat memaparkan pasangan muda dipercayai pelajar sedang berpelukan dan bercium di sebuah kedai makan secara terbuka yang tular di media sosial sejak dua hari lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pasangan terbabit termasuk lokasi kejadian serta kesahihan dakwaan yang mengaitkan mereka dengan sebuah politeknik di Melaka.

Menurutnya, dakwaan yang tular mengaitkan pasangan berkenaan dengan sebuah politeknik, namun kesahihannya belum dapat dipastikan setakat ini.

“Ya JAIM sedang siasat video itu dan ia memerlukan sedikit masa.

“Namun apapun, belum tentu pasangan muda itu dari politeknik seperti dakwaan yang tular dan tunggulah kita siasat dulu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Terdahulu video berkenaan memaparkan pasangan muda terbabit duduk di sebuah kedai makan terbuka dengan meja dan kerusi dipercayai diletakkan di kawasan berhampiran jalan sebelum tangan wanita merangkul leher lelaki berkenaan.

Turut kelihatan empat lagi individu muda lain iaitu dua lelaki dan dua wanita duduk semeja dengan pasangan muda berkenaan tanpa sebarang reaksi.

Video itu turut disertakan kapsyen yang mendakwa pasangan berkenaan adalah pelajar politeknik di Melaka, selain menyifatkan perbuatan tidak senonoh itu ditempat terbuka sebagai tidak beradab.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, walaupun terdapat kemungkinan pasangan terbabit sudah berkahwin, perbuatan sedemikian tetap dianggap tidak sopan apabila dilakukan di tempat awam.

“Kalau baru kahwin sekali pun, perbuatan berkenaan salah dan tidak sopan di tempat awam.

“Perbuatan tidak senonoh atau tidak sopan di khalayak ramai adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmad turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan dakwaan yang tular sehingga identiti dan status pasangan terbabit disahkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here