KUALA LUMPUR – Harga minyak naik di luar negara mendorong kos tenaga meningkat, pengangkutan, baja, pembungkusan dan pengeluaran turut menerima tekanan. Jika berpanjangan, sebahagian kos itu akhirnya boleh sampai kepada pengguna.
Malaysia tidak terkecuali daripada risiko tersebut. Namun ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan, keadaan harga dalam negara setakat ini masih relatif terkawal.
Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK), Tan Sri Hassan Marican berpandangan, kestabilan yang dinikmati Malaysia bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya turut dipengaruhi tindakan awal dalam mengurus risiko sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
Antaranya termasuk penyelarasan antara kementerian dan agensi, kerjasama dengan industri serta usaha mendapatkan sumber bekalan alternatif.
Hakikatnya, krisis bekalan tidak boleh dilihat melalui harga minyak semata-mata.
Gangguan tenaga boleh merebak sepanjang rantaian ekonomi, daripada logistik dan petrokimia kepada baja, pengeluaran makanan, bekalan perubatan dan pembuatan yang akhirnya boleh memberi tekanan kepada kos yang ditanggung pengguna.
Justeru, cabarannya bukan sekadar berapa mahal sesuatu barangan, tetapi juga sama ada bekalan dapat terus diperoleh apabila rantaian global terganggu.
Inilah sebabnya pemantauan bekalan, kepelbagaian sumber dan tindakan awal menjadi sama penting dengan usaha mengawal kesan kenaikan harga.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan inflasi negara berada pada 1.8 peratus pada Julai 2026 berbanding 1.9 peratus pada Jun. Bank Negara Malaysia (BNM) pula melaporkan inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.8 peratus pada Julai.
BNM mengunjurkan inflasi keseluruhan 2026 berpurata antara 1.5 hingga 2.5 peratus dan menjelaskan bahawa subsidi bahan api bersasar serta keadaan permintaan yang stabil dijangka membantu mengehadkan pemindahan kos global yang lebih tinggi kepada harga domestik.
Namun angka inflasi yang relatif sederhana tidak bermakna pengguna tidak merasai kenaikan harga.
Malah, data DOSM menunjukkan inflasi kumpulan makanan dan minuman meningkat kepada 1.8 peratus pada Julai berbanding 1.4 peratus pada Jun.
Ini menunjukkan tekanan masih ada, cuma kesannya secara keseluruhan setakat ini lebih terkawal.
Tiga ‘penampan’ Malaysia
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid melihat terdapat tiga ‘penampan’ utama yang membantu Malaysia menghadapi lonjakan harga dan gangguan bekalan.
Pertama ialah subsidi serta kawalan harga strategik.
Apabila sebahagian tekanan kos dapat diserap sebelum sampai sepenuhnya kepada pengguna, kesan rantaian terhadap pengangkutan, pengeluaran dan makanan turut dapat dikurangkan.
“Kosnya tinggi, tapi ia dapat mengelakkan inflasi makanan dan pengangkutan meletup seperti mana yang sedang berlaku di beberapa negara lain ketika ini antaranya di United Kingdom (UK) atau Turkiye,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Penampan kedua ialah kepelbagaian sumber bekalan.
Dalam dunia yang terdedah kepada konflik, bencana dan sekatan perdagangan, terlalu bergantung kepada satu sumber meningkatkan risiko.
Jika satu sumber terganggu, pilihan pembekal lain memberi negara ruang mendapatkan bekalan melalui saluran alternatif.
Aimi Zulhazmi turut melihat kedudukan Malaysia sebagai negara yang mempunyai pengeluaran minyak dan gas domestik sebagai satu lagi faktor yang membantu mengurangkan pendedahan sepenuhnya kepada kejutan tenaga global.
Bantuan bersasar lindungi yang paling terkesan
Penampan ketiga ialah jaringan keselamatan sosial dan bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta subsidi bahan api bersasar.
Dalam sesuatu krisis, persoalannya bukan hanya berapa tinggi harga meningkat tetapi siapa yang paling terkesan apabila kos meningkat.
Isi rumah berpendapatan rendah tentunya mempunyai ruang kewangan lebih kecil untuk menyerap kenaikan makanan, pengangkutan dan keperluan asas.
Sebab itu bantuan bersasar membolehkan sumber kerajaan ditumpukan kepada kumpulan yang lebih memerlukan, berbanding subsidi menyeluruh yang turut dinikmati mereka yang mempunyai kemampuan lebih tinggi.
Kerajaan perlu membantu rakyat menghadapi tekanan kos, tetapi pada masa sama memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan supaya perbelanjaan untuk kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan pembangunan tidak terjejas.
Apa berlaku tanpa ‘penampan’?
Tanpa penampan, kenaikan kos tenaga, pengangkutan dan input pengeluaran global akan lebih mudah dipindahkan sepanjang rantaian ekonomi sehingga akhirnya ia dipindahkan ke atas isi rumah dan perniagaan.
Pengurusan krisis bukan sekadar bertindak apabila harga sudah meningkat, tetapi mengenal pasti risiko lebih awal, memantau bekalan dan mengurangkan tekanan sebelum kesannya sampai sepenuhnya kepada pengguna.
Bagaimanapun, campur tangan kerajaan bukan penyelesaian kekal.
Aimi Zulhazmi berpandangan produktiviti makanan tempatan perlu terus ditingkatkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada import, manakala penyasaran subsidi perlu dipastikan benar-benar sampai kepada kumpulan yang layak.
Dalam jangka panjang, peningkatan pendapatan rakyat juga penting supaya isi rumah mempunyai kemampuan lebih besar untuk menyerap perubahan kos.
“Kerajaan mungkin berjaya ‘menekan brek’ inflasi import, dan tanggungjawab seterusnya adalah ‘menekan minyak’ kepada pendapatan rakyat,” kata Aimi Zulhazmi.
Daya tahan negara bagaimanapun tidak boleh dibina oleh kerajaan sahaja. Sebaliknya, rakyat juga boleh memainkan peranan melalui tiga perkara: memahami, bersedia dan menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.
Ia termasuk memahami bahawa gangguan bekalan global mungkin berpanjangan dan kestabilan hari ini bukan bermakna bahaya sudah berlalu.
Rakyat juga perlu bersedia menghadapi turun naik harga dan bekalan dengan perancangan kewangan yang lebih baik serta menyesuaikan corak penggunaan bahan api, elektrik secara lebih cekap, mengurangkan pembaziran serta berbelanja secara lebih terancang.
Hakikatnya, Malaysia masih terdedah kepada kejutan yang sama dihadapi dunia.
Konflik geopolitik, kenaikan harga komoditi, gangguan perdagangan atau masalah pengeluaran makanan masih boleh membawa tekanan baharu.
BNM sendiri mengingatkan bahawa prospek inflasi kekal bergantung kepada risiko luaran, termasuk gangguan bekalan berpanjangan, ketidaktentuan perdagangan dan kenaikan kos input.
Bezanya ialah sejauh mana kejutan itu dapat dikesan, diurus dan diserap sebelum sampai sepenuhnya kepada poket rakyat.
Kestabilan relatif hari ini bukan alasan untuk berasa selesa.
Sebaliknya, ia memberi ruang kepada kerajaan memperkukuh sumber bekalan dan kedudukan fiskal, industri membina rantaian bekalan lebih berdaya tahan serta rakyat membuat persediaan menghadapi ketidaktentuan. – MalaysiaGazette
















