Tertuduh, Noraidah Khairuddin, 44.

GEORGE TOWN – Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 bulan dengan cara yang mungkin menyebabkan dia meninggal dunia, minggu lalu.

Tertuduh, Noraidah Khairuddin, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

“Saya tak mengaku salah sebab saya tak buat apa-apa pun kat dia,” kata tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 bulan telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya meninggal dunia.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu ketika berada di sebuah pangsapuri di Taman Desa Mawar, Lintang Kampung Melayu 2, Ayer Itam di sini, jam 2 petang pada 8 September lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 haribulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Naqieya Zulkernain, dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah.

Katanya, tertuduh mempunyai tiga anak berusia antara 11 hingga 17 tahun, dengan anak bongsunya menghidap asma.

“Tertuduh juga seorang suri rumah dan bergantung kepada suami yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Memandangkan tiada mempunyai sumber pendapatan tetap jadi tiada risiko dia melarikan diri.

“Selain itu, jaminan hanya memastikan kehadiran orang kena tuduh (OKT) ke mahkamah bukan hukuman pada peringkat ini,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 16 November depan bagi serahan laporan bedah siasat.

ARTIKEL BERKAITAN

Pengasuh, ibu ditahan bantu siasatan kematian budak lelaki

Media pada Khamis lalu melaporkan, seornag kanak-kanak berkenaan ditemukan tidak sedarkan diri dengan bibir kelihatan kebiruan ketika berada di rumah pengasuhnya pada 8 September lalu.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) oleh ibu dan pengasuhnya pada jam 2.45 petang sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 3.33 petang selepas menerima rawatan kecemasan.

Susulan kematian itu, pengasuh serta ibu mangsa ditahan bagi membantu siasatan oleh Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Nurul Aishah Izati Zaidi dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Hasil bedah siasat yang dijalankan sebelum ini mendapati tiada kesan penderaan fizikal dikesan pakar forensik, manakala punca kematian masih belum dapat dipastikan dan menunggu keputusan analisis makmal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here