KUALA LUMPUR – Sebanyak 38 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 12 tengah hari ini, dengan Johan Setia, Selangor dan IPD Serian, Sarawak masing-masing mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 185.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, sebanyak 30 kawasan lain pula merekodkan kualiti udara sederhana, manakala tiada kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik.
Bacaan tertinggi turut direkodkan di Cheras, Kuala Lumpur (174), Nilai, Negeri Sembilan (172) dan Shah Alam, Selangor (170).
Putrajaya pula merekodkan bacaan IPU 169, manakala Seremban (168), Batu Muda, Kuala Lumpur (165), Larkin, Johor (165), Kota Tinggi, Johor (164) dan Indera Mahkota Kuantan, Pahang (164).
JAS berkata perkembangan kualiti udara semasa dipandang serius dan pemantauan serta tindakan di lapangan terus diperkukuh selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) serta Arahan NADMA No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.
Menurutnya, keadaan berkenaan berlaku dalam persekitaran cuaca kering yang berterusan di sebahagian Rantau Selatan ASEAN.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 14 September, sebanyak 800 titik panas dikesan di Kalimantan, 85 di Sumatera dan 16 di Malaysia, membabitkan enam di Sabah, sembilan di Sarawak dan satu di Selangor.
ASMC turut melaporkan jerebu rentas sempadan sederhana diperhatikan di Semenanjung Malaysia, Singapura serta bahagian selatan Vietnam dan Kemboja pada 15 September.
Jerebu sederhana hingga tebal turut dikesan di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan.
Dalam perkembangan berkaitan, JAS memberi perhatian khusus terhadap kejadian kebakaran di Sarawak, terutama membabitkan kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah yang berisiko tinggi terbakar ketika cuaca panas dan kering.
Di Sarawak, kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Selalang, Sarikei melibatkan kawasan seluas 1.5 hektar.
Setakat hari ini, kira-kira 1.3 hektar atau 87 peratus kawasan berkenaan berjaya dipadamkan, manakala baki 0.2 hektar masih dalam tindakan pemadaman.
JAS Sarawak akan meneruskan pemantauan di lokasi kebakaran, termasuk menggunakan dron bagi mendapatkan gambaran terkini status kebakaran dan keluasan kawasan terjejas.
Pemantauan kualiti udara turut dijalankan bagi menilai potensi kesan kebakaran terhadap kualiti udara setempat.
Dalam masa sama, JAS berkata pemantauan terhadap aktiviti pembakaran terbuka dan kejadian kebakaran yang berpotensi menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara akan dipertingkatkan.
JAS turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pembakaran terbuka yang berpunca daripada aktiviti manusia, khususnya jika aktiviti berkenaan menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.
Tindakan pencegahan, pemeriksaan, siasatan dan penguatkuasaan akan diteruskan berdasarkan bukti serta bidang kuasa yang diperuntukkan kepada jabatan itu. – MalaysiaGazette
















