Che Murad Sayang Ramjan.

NIBONG TEBAL – Keperluan orang kurang upaya (OKU) di pusat pemindahan sementara (PPS) antara perkara yang diberi perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam persiapan menghadapi musim tengkujuh.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, antara keperluan yang diberi perhatian ialah penyediaan ruang untuk golongan OKU mengikut kategori, termasuk mereka yang mempunyai masalah penglihatan dan pendengaran.

Katanya, bagi OKU yang mempunyai masalah pendengaran, terdapat permintaan supaya kemudahan jurubahasa turut disediakan di PPS.

“OKU ini banyak kategori, ada penglihatan, ada pendengaran dan kalau boleh mereka minta yang pendengarannya ada jurubahasa, kemudian ada ruang-ruang untuk mereka yang penglihatan dan sebagainya.

“Itu yang kita sentiasa terima, sebab itu saya katakan, dari segi persiapan itu, kita sentiasa menambah baik apa sahaja keperluan-keperluan untuk semua golongan termasuk bagi mereka yang sakit terlantar dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Latihan Amal dan Simulasi Pengurusan PPS Peringkat Pulau Pinang di Dewan Serbaguna Sungai Jawi di sini, hari ini.

Tambah Che Murad, JKM turut memastikan persiapan logistik termasuk stok di depoh bekalan bencana berada pada tahap mencukupi bagi menampung keperluan sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari sebelum bantuan tambahan diberikan agensi berkaitan.

Katanya, latihan simulasi pengurusan PPS yang dilaksanakan setiap tahun turut membabitkan agensi berkaitan bagi memastikan persiapan menghadapi kejadian bencana dapat dilakukan.

“Melalui program-program atau latihan seperti ini, kita nak melibatkan semua agensi-agensi yang berkaitan.

“JKM sebagai agensi yang mengendalikan PPS, kita bersama-sama dengan NADMA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba dan sebagainya,” katanya.

Mengenai persiapan menghadapi musim tengkujuh, beliau berkata, JKM sentiasa mengikuti perkembangan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia bagi mengenal pasti kawasan yang berpotensi berdepan banjir.

Jelas beliau, terdapat 18 pusat pemindahan tetap yang dikendalikan NADMA dan penugasannya dilaksanakan bersama JKM.

“Tumpuan tentu sekali kita beri kepada negeri-negeri Pantai Timur yang kita rasa berpotensi untuk menghadapi musim itu besar.

“Contohnya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor. Dari segi yang kita kenal pasti itu, memang kita sentiasa bersedia.

“Lebih 9,000 PPS telah tersedia di seluruh negara, namun tidak semua pusat berkenaan akan diaktifkan pada masa sama kerana kejadian banjir lazimnya melibatkan negeri tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here